Proton X50 2025 dilancarkan secara rasmi - 3 varian, dari RM89,800

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Proton hari ini secara rasminya melancarkan Proton X50 2025 serba baharu dengan kemas kini paling menyeluruh sejak model tersebut mula diperkenalkan.

Bukan sekadar penambahbaikan kosmetik, X50 2025 merangkumi reka bentuk luaran baharu, teknologi infotainmen terkini, serta sistem keselamatan yang lebih canggih.

X50 2025 menampilkan jeriji depan baharu beraksen merah, dengan lampu utama LED dan DRL yang lebih halus, bersama bampar hadapan dan belakang direka semula dengan gaya lebih agresif.

 

2

 

Bahagian kabin X50 juga kini lebih premium dengan kemasan lembut dan gabungan dwi-tona, serta skrin infotainmen 14.6 inci, terbesar dalam segmennya, dengan sistem operasi Android, RAM 6GB dan storan dalaman 64GB.

Paparan instrumen kluster 8.88 inci juga baharu, manakala lampu ambient juga boleh diubah mengikut 72 pilihan warna.

Ciri sambungan kini lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto, boleh digunakan secara tanpa wayar atau berwayar, di samping pengenalan aplikasi Proton Link 2.0 dengan fungsi baharu lebih moden.

 

3

 

Sistem arahan suara juga telah dipertingkat dengan sokongan penuh Bahasa Melayu, membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi kenderaan dengan lebih mudah.

X50 2025 dikuasakan oleh enjin baharu 1.5L Turbo i-GT dipadankan dengan transmisi DCT 7 kelajuan menghasilkan kuasa 181 PS dan 290 Nm, dengan kemampuan memecut dari 0–100 kmj dalam 7.6 saat.

Empat mod pemanduan juga tersedia iaitu Normal, Sport, Eco dan Adaptive yang membolehkan pemandu menyesuaikan prestasi mengikut keperluan dan keadaan.

 

5

 

Salah satu peningkatan utama ialah sistem ADAS Level 2, kini dengan pengesanan lebih jauh dan tepat melalui radar dan kamera yang dipertingkatkan.

Sistem RSRS (Rear Side Radar System) baharu menambah ciri Lane Change Assist, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, serta amaran pintu dibuka ketika ada kenderaan menghampiri (Door Opening Warning).

Ciri Auto Park Assist juga dipertingkat, dengan keupayaan memarkir dalam ruang selari atau tegak, bersama kamera 360° HD dengan paparan lutsinar 180° turut membantu dalam situasi parkir sempit.

 

6

 

Berbanding generasi terdahulu, X50 2025 hanya ditawarkan dengan tiga pilihan varian iaitu Executive, Premium dan Flagship, sekaligus menggugurkan pilihan Standard.

Harga kini ditawarkan bermula dari RM89,800 untuk varian Executive, RM101,800 untuk varian Premium dan RM113,300 untuk varian Flagship.

Menariknya, Proton turut menawarkan tawaran eksklusif "Gempak! Deal" merangkumi rebat tunai bernilai RM4,000 untuk 10,000 pembeli pertama yang mendaftar sebelum 31 Oktober 2025.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut PROTON, bantuan tersebut melibatkan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan pusat…
Berita Domestik
Sambutan awal yang memberangsangkan itu mencerminkan keyakinan berterusan pengguna Malaysia…
Berita Domestik
Majlis penyerahan tersebut berlangsung di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada 12…