"Proton sedang mencari peluang pelaburan berpotensi dalam pembuatan dan perkongsian tempatan," kata Duta Besar Malaysia ke Algeria, Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan, kepada Bernama pada Isnin.
Beliau berkata, Muhamad Azwan Muhamad Nor, Pengurus Serantau Proton bagi Afrika Utara daripada bahagian jualan antarabangsa syarikat itu, baru-baru ini mengadakan lawatan ke Algeria bagi mengkaji potensi peluang perniagaan dan pelaburan dalam sektor automotif.
Menurut Rizany, Algeria dilihat sebagai pasaran penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsa Proton berikutan populasi yang besar, permintaan kenderaan yang belum dipenuhi serta tumpuan kerajaan negara itu terhadap pembangunan pembuatan domestik.
Dalam lawatan berkenaan, Muhamad Azwan turut mengadakan pertemuan dengan kumpulan perniagaan utama bagi menilai keadaan pasaran serta potensi kerjasama strategik.
Proton, katanya, sedang mempertimbangkan pendekatan berperingkat untuk memasuki pasaran Algeria, bermula dengan penubuhan rangkaian pengedar sebelum beralih kepada penubuhan kilang pemasangan separa (SKD) dan CKD, seterusnya melabur dalam kemudahan pembuatan penuh.
Permintaan kenderaan di Algeria dianggarkan sekitar satu juta unit setahun berdasarkan penilaian industri.