Proton sudah jumpa tongkat ali yang sebenar

oleh HEZERI SAMSURI|
Saya masih ingat kali pertama saya memandu uji kenderaan jenama China. 

Memang ia sangat "menarik" kerana kereta itu mempunyai pelbagai ciri-ciri unik. Ia adalah antara unit pertama yang ditukarkan dari Left Hand Drive kepada Right Hand Drive. Setiap kali mengambil pusingan, stereng berkuasa kenderaan buah ceri itu seperti disampuk bunian - sekejap ringan, tiba-tiba berat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sama dengan operasi gear kenderaan itu - ia mempunyai susun atur gear yang songsang, seperti seorang cuba menukar posisi gear kerana pada fikirannya, jika stereng berubah kedudukan, gear juga perlu diubah.

Nasib baik susunan pedal masih sama.

Kemudian kualiti unit pandu-uji itu. Ia mengingatkan saya kepada "post-box" plastik paling murah di kedai Koboi. Bila diketuk papan pemuka, bunyi berdenting seolah-olah ia akan retak. 

Lensa pada lampunya menguning, walaupun belum setahun usianya. Bahagian ekzos berkarat dan nampak seperti sebuah gudang yang dibiarkan selama 40 tahun.

Bunyi? Tak perlu kita ke sana - bilik darjah Tahun 1 semasa hendak keluar rehat pun lebih senyap. 

Namun begitu, saya faham. Ini ialah sebuah syarikat yang baharu hendak mengorak langkah keluar dari kepompongnya. Mungkin standard itu diterima di tempatnya, tetapi di dalam negara yang penuh dengan jenama-jenama Jepun dan Eropah, mutu yang ditawarkan itu sukar diterima. Ia sama seperti jenama tempatan mahu masuk ke pasaran barat yang jauh lebih moden.

Ketika itu, saya merasakan jika jenama China hendak maju di Malaysia, ia perlu mampu melakukan dua perkara ini:

  1. Rekabentuk yang menarik
  2. Harga yang sangat mampu milik

Idea saya terbukti benar kerana apabila produk mereka memiliki dua nilai tersebut, pembeli yang rata-rata dari golongan Melayu keluar membeli. Bila ditanya, jawapan mereka ialah "ia nampak lagi cantik dari produk nasional". Kualiti dan isu lain tidak penting.

 

pos box

Bila saya bertanya pula kepada pengguna dari kaum Cina, semuanya berkata mereka tidak begitu yakin kerana jenama itu terlalu baharu dan mereka risaukan khidmat selepas jualan yang tidak memuaskan dan harga jual balik yang rendah. 

Ini biasa - pembeli Cina 20 tahun lepas suka berfikir panjang kerana mereka membeli dari akal seorang akauntan.

Saya juga kongsikan pengalaman saya dengan orang-orang besar syarikat kereta yang lain. Ramai yang berkata jenama itu masih baharu - "kita kena lihat perkembangan mereka dalam masa 10 tahun". 

Yang pasti, mereka jauh di belakang berbanding dengan syarikat-syarikat nasional kita. Namun begitu, apa yang mereka tidak ada (iaitu teknologi dan kepakaran) telah digantikan dengan sesuautu yang lebih penting - saiz pasaran domestik yang sangat besar.

Pakar ekonomi berkata China akan menjadi lebih maju dalam masa yang lebih singkat dari Jepun dan Korea kerana China mempunyai jumlah penduduk yang tinggi.

"Jika kerajaan mereka bijak dan serius, mereka akan memotong Jepun," ujar seorang sahabat yang juga seorang CEO syarikat public-listed. 

Itu kisah 20 tahun yang lalu.

Semalam saya menelefon rakan saya itu untuk urusan lain, tetapi nampaknya beliau masih ingat akan perbualan kami dahulu.

"Betul tak apa aku cakap? Tengok siapa di atas, siapa di bawah. Kita boleh menjadi seperti Jepun atau Korea tetapi kita memilih jalan lain. Apa pun, kita dah berjaya keluar dari kepompong. Senang untuk kau tulis nanti bukan?" ujarnya sambil ketawa.

Saya cuma mengiakan sahaja kerana saya sangat faham apa maksud beliau. Generasi kami diajar untuk berdiri di atas kaki sendiri, untuk maju ke hadapan tanpa gentar dan untuk keluar dan bertapak di luar. Kerana itu, Perdana Menteri kami ketika itu menyuruh kami pandang ke timur.

 

loudness

 

"Mereka kecil dan pernah musnah dalam peperangan tetapi kini sudah menakluk dunia," kata Perdana Menteri kami dalam salah satu dari beribu ucapan yang kami dengar dari beliau.

Sejak kebelakangan ini, kita diajar untuk menerima seadanya. 

Untuk memastikan kita sentiasa rasa bangga, kita diajar untuk mengabaikan kelemahan diri dan memberi penekanan kepada yang positif sahaja. Kita perlu berfikir tentang kejayaan kita, walaupun ia sudah 30 tahun berlalu.

Ia seperti saya bercerita dengan anak saya Alif yang berusia 14 tahun - "Abah menang lumba lari masa abah dalam Darjah Satu tau!".

Mungkin Alif merasa bangga pada awal usianya tetapi sekiranya setiap tahun saya bercerita tentang perkara itu sehingga beliau berusia 35 tahun, pasti beliau sedih kerana berfikiran abahnya sudah nyanyuk.

Kejayaan pada hemat saya memang satu yang subjektif dan bergantung kepada individu. 

Ada yang hendak menjadi seperti Hublot, jenama jam baharu dari Switzerland yang lahir dalam tahun 1980 dan kini menjadi antara jenama premium tetapi sudah dimiliki oleh Kumpulan LVMH dari Perancis.

 

casio

 

Ada juga yang mahu menjadi Casio, jenama lama dari Jepun yang lahir dalam tahun 1946 dan dalam diam, menjadi antara syarikat jam dan elektronik terkuat di dunia dengan jenama G-Shock yang sangat popular di segenap lapisan masyarakat dunia.

Dan ada juga yang mahu menjadi seperti jam Q&Q. Jam ini dikenali ramai di Malaysia kerana dijual di pasaraya Mydin, tetapi yang ramai tidak tahu, Q&Q ialah jenama mampu milik yang dimiliki oleh Citizen Watch, jenama jam tangan premium Jepun. 

 

Q&Q

 

Untuk kisah Proton, saya sebenarnya tidak begitu hirau ia mahu menjadi jenama jam apa pun, asalkan ia sebuah jam yang berfungsi dengan baik dan tidak makan bateri.

Jangan risau, jenama dari China sudah jauh meninggalkan zaman-zaman post-box kedai Koboi mereka. Hasil jualan pasaran domestik sahaja membolehkan mereka membeli teknologi dan kepakaran - cara paling cepat untuk naik maju dan dengan pengurusan yang cekap, mereka terus ke hadapan (kerana itu kita perlu risau akan Indonesia). 

Setelah berpuluh tahun berusaha, akhirnya kita serahkan jenama kita Proton kepada tuan baharu yang nampaknya sudah terbukti lebih pantas dan lebih bijak di dalam industri ini. Kita biarkan ia berkembang di pasu yang baharu dengan baja yang baharu. 

status

 

Proton memang perlu menembusi pasaran luar setelah berpuluh tahun gagal menembusi apa lapisan pun. Sudah puas dipujuk, dijaja, digenggam, dibantu, dipuja, dipuji dan jika ada pun situasi yang hampir hendak tembus, ia tiba-tiba didodoi untuk tidur dan menjadi lembik semula.

Geely ialah umpama tongkat ali yang diperlukan selama ini dan Proton perlu menembusi pasaran sebesar China itu dengan kadar segera agar berjaya menjadi jenama entry-level untuk Geely di sana dan juga di dunia. 

Harapan rakyat agar Proton kekal dengan harga mampu milik tetapi dilengkapi dengan teknologi terkini nampaknya semakin hampir. 

Betullah apa yang mak saya selalu pesan, cakap itu doa. Jika kita selalu berkata perkara yang sama, maka ia menjadi seumpama satu doa.

Aamiiiiiiin. 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke…
Berita Domestik
"Selepas mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jumlah volum industri (TIV) bagi pasaran automotif…
Berita Domestik
PROTON telah menyumbangkan koleksi bahan bacaan kepada SMK Proton City di Tanjong Malim dan…