Benarlah tekaan yang dilontarkan sebelum ini, apabila Proton didapati sudah mula mendaftakan tanda dagangan X50 bagi model terbaharu yang bakal dipasang di Tanjung Malim selepas X70.
Hal ini didedahkan oleh rakan media Carlist.my menerusi carian di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengesahkan nama tersebut akan digunakan oleh pengeluar automotif pertama Malaysia itu.
Proton X50 akan menggunakan asas daripada Geely SX11 (Geely Bin Yue), di mana ia bakal menawarkan enjin 1.5 liter turbo (174 hp/255 Nm) digandingkan dengan transmisi DCT tujuh nisbah kelajuan.
Terdapat juga enjin 1.0 liter turbo (134 hp/205 Nm) dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan, namun tidak dapat dipastikan adakah kedua-dua versi enjin ini bakal mendarat di Malaysia.
Ia juga turut dilengkapkan dengan ciri pemanduan autonomi tahap kedua (Level 2 Autonomy), sistem hiburan GKUI serta brek kecemasan automatik sebagai ciri standard.
Difahamkan Proton sudah pun memulakan fasa pengujian dalam dunia sebenar bagi model SUV segmen B itu di beberapa lokasi dalam Malaysia, seperti yang kami laporkan sebelum ini.
Proton X50 akan menjadi model kedua CKD setelah proses pembesaran fasiliti Tanjung Malim selesai, di mana SUV X70 bakal memulakan fasa pemasangan CKD tidak lama lagi.
Selain daripada Proton X70 dan Proton X50, pengeluar tersebut turut mendapatkan hak untuk memasang Geely VF11 yang disebut-sebut sebagai pengganti Proton Exora yang kini sudah terlalu lama berada di pasaran.
Sumber: Carlist.my
Sumber gambar: Ajerul