Proton Saga R3 Limited Edition kini ditawarkan dalam varian manual...di Pakistan

oleh Mohamad Hanif|
Para peminat Proton di Pakistan kini berpeluang untuk mendapatkan versi terhad Proton Saga R3 Limited Edition yang baharu sahaja dilancarkan semalam (4 April 2021) menerusi acara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Proton Pakistan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sama seperti apa yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, Proton Saga R3 Limited Edition didatangkan dengan perincian seperti kemasan decal badan, elemen kuning, badan serba hitam, emblem R3, pelekat cermin, serta rim aloi bersaiz 15 inci.

Sementara ruang dalaman pula mendapat kemasan seperti aksen kuning pada sesetengah tempat seperti papan pemuka, panel meter, dan corong pendingin hawa, serta penapis udara kabin N95.

 


Menariknya, untuk pasaran Pakistan, hanya 100 unit sahaja yang ditawarkan untuk para pembeli di sana, dan pembelian hanya boleh dibuat menerusi cabutan undian bagi memastikan setiap pembeli mendapat peluang yang lebih adil.

Dan tidak adilnya, Proton Pakistan turut menawarkan model Saga R3 Limited Edition ini dengan pilihan transmisi manual!

 


Selain daripada Saga R3 Limited Edition, Proton Pakistan turut melancarkan varian Saga standard yang terdiri daripada tiga varian iaitu:

  • Saga MT
  • Saga AT
  • Saga Ace

 


Selain daripada enjin 1,299 cc S4PE yang menghasilkan 95 PS dan 120 Nm, kelengkapan standard yang dimuatkan termasuklah Eco Drive Assit, ABS, EBD, Brake Assist, dua beg udara hadapan, Eco Drive Assist, sistem kemasukan tanpa kunci, serta larasan ketinggian tempat duduk pemandu.

Sementara model Saga ACE pula mendapat tambahan seperti lampu nyalaan siang LED, rim aloi 15 inci, spoiler belakang, skrin infotainmen terapung tujuh inci, kamera undur, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki serta sambungan kepada peranti pintar.

Harga jualan bermula dari PKR 1,975,000 (RM53,690) untuk Saga MT, sehinggalah PKR 2,225,000 (RM60,488) untuk varian Saga ACE. Sementara model Saga R3 Limited Edition pula bermula dari PKR 2,175,000 (RM59,129) untuk versi manual dan PKR2,425,000 (RM65,925) untuk versi automatik.