Proton Saga "Joker' dan 'Harley Queen', belanja RM40,000 untuk kelainan

oleh SALINA JALIL|
Minat mendalam terhadap ubah suai kereta dan ingin menonjolkan kelainan, menyebabkan seorang pemilik kereta Proton Saga LMST edisi 2003-2008, sanggup berbelanja besar untuk kepuasan diri.


Muhammad Osman, 36, berkata setakat ini dia sudah menghabiskan lebih RM40,000 bagi mengubah suai kereta berkenaan sebaik memulakan aktiviti itu pada 2014.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Katanya, paling istimewa, aktiviti sampingan bagi mengisi masa lapang pada hujung minggu dan cuti, semakin menyuntik semangatnya apabila kereta itu memenangi banyak anugerah dalam pertandingan kereta tercantik atau pameran kereta tempatan sebelum ini.

 

"Saya memulakan minat mengubah suai dan menyolek kereta ini pada 2014, namun ketika itu sekadar menukar bahagian tertentu secara berperingkat seperti menukar kepada 'sport rim' yang lebih menarik dan bergaya.

 

"Selepas itu, saya tambah baik sistem audio, radio dan diikuti menukar cat. Saya memilih tema Joker dan Harley Quinn pada badan kereta ini bagi memberikan kelainan dan setakat ini, kereta saya satu-satunya menggunakan tema tersendiri di negeri ini.

 

"Tema ini dipilih secara spontan kerana minat kepada gaya watak Joker dalam filem terkenal," katanya yang tinggal di Sikamat dan bekerja di sebuah hospital swasta di Senawang.

 

 

Beliau berkata, ubah suai yang dilakukan tidak menyebabkan struktur badan asal kenderaan terbabit bertukar, sebaliknya masih kekal seperti asal bagi mematuhi undang-undang ditetapkan pihak berkuasa.

 

"Ubah suai hanya di bahagian tertentu seperti bahagian dalaman termasuk tempat duduk dan sistem audio, bunyi dengan pemasangan peralatan lebih canggih dan keseluruhannya nampak 'rare'." katanya yang masih bujang.

 

Menurutnya, sebelum ini dia banyak menyertai pameran kereta, bukan saja di Negeri Sembilan, malah di luar termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Johor Bahru, Shah Alam dan beberapa tempat lain.

 

Katanya, tidak kurang 40 piala diterima dalam tempoh sekitar enam tahun pembabitan dalam aktiviti itu melalui pelbagai kategori yang disertai.

 

"Walaupun hadiah diterima tidak setimpal dengan kos yang dibelanjakan, saya puas. Matlamat sertai pameran kereta bukan sekadar untuk menang, tetapi juga seronok berjumpa ramai kawan pelbagai bangsa dan peringkat usia sambil bertukar pengalaman.

 

"Saya pernah memperoleh beberapa kejuaraan dan ia kenangan yang menarik, tetapi apa yang lebih penting, kita dapat mewujudkan perhubungan yang baik dalam masyarakat khususnya kalangan peminat kereta," katanya.

 

Muhammad tidak menafikan terdapat segelintir individu yang menyifatkan kerja ubah suai dan menyolek kereta sehingga berhabis puluhan ribu adalah sia-sia.

 

"Terpulang kepada diri sendiri dan minat seseorang tidak boleh dihalang. Saya menggunakan wang sendiri dan bukannya meminjam atau meminta dengan orang lain atau ahli keluarga.

 

"Terpulang kepada mereka yang mentafsirkan pendapat sebegitu rupa. Apa yang penting kami tidak melakukan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara," tegasnya.

 

Dalam pada itu, beliau mengakui keretanya itu sering menjadi daya tarikan orang ramai untuk bergambar dan sebagainya termasuk bagi tujuan meraikan majlis keraian seperti majlis pertunangan, perkahwinan dan majlis rasmi agensi kerajaan serta swasta.

 

Bagaimanapun, katanya, susulan penularan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti itu terus berkurangan, malah program pameran kereta juga tidak dapat diadakan.

 

"Semua rakan-rakan akur dengan keadaan semasa, ramai terpaksa menyimpan kereta masing-masing di rumah," katanya.

 

 

sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan…
Berita Domestik
"Ahli-ahli politik perlu mempunyai iltizam dalam memastikan kejayaannya (dari segi penggubalan…
Berita Global
Selain daripada itu, Toyota turut mempamerkan konsep ubahsuai bagi dua model pentingnya, iaitu GR…