Proton Saga dirempuh pikap dipandu warga China mabuk, dua maut, dua parah

oleh Penyumbang Rencana|
foto JBPM Sarawak
Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan dua maut dan dua cedera parah di Lampu Isyarat Paragon, Jalan Sultan Iskandar, Bintulu pada Jumaat malam, disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.30 malam dan pemandu tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux tersebut dipercayai telah melanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Saga dan kemudian merempuh tiang lampu isyarat di lokasi kejadian manakala impak perlanggaran turut menyebabkan Proton Saga itu terlajak ke pembahagi jalan.

"Akibat perlanggaran itu dua penumpang lelaki dan wanita di tempat duduk belakang Proton Saga maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang wanita di tempat duduk depan kereta tersebut mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dua mangsa yang maut itu dikenal pasti sebagai Yiu Siew Lee, 34, dan Janam Ampar, 44, manakala yang cedera parah ialah Wilson Tawi, 24, dan Anis Sintiabella, 19.

"Pemandu kenderaan pacuan empat roda warganegara China tidak mengalami kecederaan dan tidak ada maklumat pengenalan (pemandu itu) diperoleh setakat ini,” tambahnya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, suspek kemudian berjaya ditahan oleh anggota trafik dari Balai Polis Bayan Lepas di…
Berita Domestik
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta telah memandu kenderaan itu dengan kandungan…
Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang bertugas itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam…