Proton Saga 2019 - sedan marhaen bermula dari RM32,800

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di MITEC sebentar tadi, Proton akhirnya secara rasmi melancarkan model facelift Saga 2019 dengan ciri-ciri menarik yang bakal menarik perhatian golongan sasaran sedan segmen A itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Membawakan elemen-elemen yang sama seperti adik beradiknya Iriz 2019 dan Persona 2019, Saga 2019 juga turut menampilkan elemen gril Infinite Weave dan busur Ethereal Bow. 

 


Buat kali pertama, Saga juga menampilkan ciri lampu nyalaan siang yang dikhaskan pada model Premium sahaja, menghiasi ruang bumper hadapan yang turut diberikan nafas baharu. 

Sementara itu di bahagian belakang tiada lagi logo Proton dan ia digantikan dengan tulisan PROTON melintangi ruang belakang tersebut. 

Harus anda tahu, Proton juga kini mendatangkan ciri spoiler belakang sebagai satu ciri standard untuk kesemua varian.
 


Rekaan rim baharu juga turut diperlihatkan dengan penggunaan rim lima bilah berkembar bersaiz 15 inci. 

Manakala varian asas menerima rim aloi bersaiz 14 inci untuk versi auto dan rim kompang untuk versi manual. 

Untuk Saga 2019, tiga varian sahaja diperkenalkan iaitu Saga 1.3 Premium, dan juga Saga varian Standard dengan penawaran transmisi manual dan automatik. 
 


Sebut pasal transmisi automatik, Proton Saga 2019 tidak lagi menggunakan transmisi CVT seperti mana 'tradisi' model tersebut dan ia digantikan dengan transmisi automatik empat kelajuan dari Hyundai PowerTech. 

Enjin lama masih lagi dikekalkan, iaitu enjin VVT empat silinder sebaris 1.3 liter dengan kuasa 95 PS dan 120 Nm yang memacu roda hadapan. 

Meneruskan elemen-elemen bantuan Geely, Saga 2019 juga kini dihiasi dengan penggunaan meter kluster baharu yang lebih kemas, diikuti dengan penggunaan tombol gear baharu untuk varian bertransmisi automatik. 

 


Memasuki ruang kabin, seperti mana yang anda semua telah lihat, sistem hiburan asal telah dialihkan dan digantikan dengan unit jenis terapung di bahagian atas papan pemuka. 

Varian premium menerima unit infotainmen dengan ciri skrin sentuh bersaiz 7 inci (tiada ciri Hi Proton), manakala varian standard pula hadir dengan unit audio standard tanpa paparan skrin sentuh. 


 


Tempat duduk juga hadir dengan rekaan upholsteri baharu, manakala lampu bacaan peta (map lamp) kini menggunakan suluhan jenis LED.

Ciri yang digemari oleh rakyat Malaysia, tambahan dua slot pengecasan USB turut disediakan bagi memudahkan penumpang belakang mengecas peranti pintar mereka ketika dalam perjalanan, khusus buat dua varian tertinggi. 

 


Ruang kargo masih lagi kekal dengan saiz 420 liter yang boleh dibesarkan apabila tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya. 

Dari segi keselamatan, kesemua varian didatangkan standard dengan ciri-ciri seperti:

  • beg udara berkembar SRS hadapan
  • brek ABS + EBD
  • Bantuan Brek (BA)
  • cagak ISOFIX
  • sensor parkir belakang


Manakala varian Premium menerima ciri tambahan seperti:

  • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
  • Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)
  • Bantuan Mula Mendaki (HHA)
  • kamera undur
  • sensor parkir hadapan

 


Sedan marhaen yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia kini ditawarkan dengan lima warna menarik iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon, dan Ruby Red.

Harga jualan pula ditetapkan seperti berikut:

  • Saga 1.3L Standard MT: RM32,800
  • Saga 1.3L Standard AT: RM35,800
  • Saga 1.3L Premium AT: RM39,800

Setiap pembelian Proton Saga didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/150,000 km yang mana terdahulu, dan termasuklah dengan kos buruh percuma untuk tiga kali servis berjadual. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Daripada jumlah tersebut, Proton Saga masih lagi kekal sebagai model Proton yang paling laris…
Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad berkata, mangsa yang beralamat di Taman Desa…