PROTON Pamer Teknologi Hibrid Baharu, Mobiliti Pintar Jadi Fokus Utama Di KLIMS 2026

oleh Qalif Latif|
PROTON menjadikan teknologi mobiliti pintar sebagai tumpuan utama sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 menerusi tema “PROTON AHEAD: Intelligence That Connects People”, yang memperlihatkan hala tuju syarikat dalam membangunkan pengalaman pemanduan yang lebih pintar, selamat dan terhubung.

Kuala Lumpur International Mobility Show
Menerusi ruang pameran khas PROTON Intelligent Mobility Zone, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai teknologi baharu termasuk sistem hibrid (HEV), Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), enjin i-GT, Electrical & Electronic Architecture (EEA), PROTON Modular Vehicle Cockpit Concept serta PROTON IHU Smart Cockpit.

Teknologi HEV Baharu Jadi Tarikan Utama

Antara teknologi yang paling mencuri perhatian ialah sistem HEV PROTON yang menggabungkan Dedicated Hybrid Engine (DHE) dan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) bagi menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lancar serta cekap bahan api. Sistem ini direka khusus untuk keadaan pemanduan harian termasuk trafik bandar yang kerap berhenti dan bergerak.

Sistem berkenaan turut dilengkapi fungsi EV Mode yang membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik dalam situasi tertentu. Selain itu, sistem akan bertukar secara automatik antara EV Mode, Series Mode, Parallel Mode dan Direct Drive mengikut keadaan pemanduan, tahap bateri serta keperluan kuasa semasa.

Enjin hibrid 1.5 liter yang digunakan menghasilkan kuasa 82 kW (110 hp) dan tork maksimum 136 Nm. Ia menggunakan nisbah mampatan 14:1 serta direka untuk menggunakan petrol RON95. Menurut PROTON, enjin tersebut mampu mencapai kecekapan terma sehingga 46.5 peratus hasil penggunaan teknologi seperti kitaran Atkinson, water-cooled EGR dan smart cooling electric water pump.

Sistem transmisi hibrid itu juga menggunakan dua motor elektrik, iaitu motor P1 yang membantu menghidupkan enjin dan menjana tenaga, manakala motor P3 bertindak sebagai motor pemanduan utama selain membantu proses pemulihan tenaga ketika nyahpecutan. Kedua-duanya disokong oleh Power Control Module (PCM) berkecekapan tinggi untuk pengurusan kuasa yang lebih responsif dan cekap.

Teknologi Dibangunkan Untuk Keperluan Rakyat Malaysia

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato' Ir. Rashid Musa berkata, teknologi yang dipamerkan mencerminkan langkah penting syarikat dalam perjalanan menuju mobiliti pintar.

Menurut beliau, PROTON mahu memastikan teknologi yang dibangunkan bukan sahaja canggih, malah relevan dengan keadaan pemanduan sebenar rakyat Malaysia.

Barisan Model Lengkap Turut Dipamerkan

Selain pameran teknologi, PROTON turut membawa barisan model lengkapnya ke KLIMS 2026 termasuk Saga, S70, X50, X70 Sport Edition dan X90. Kehadiran model-model tersebut mencerminkan usaha jenama nasional itu memenuhi pelbagai keperluan pengguna Malaysia.

Kuala Lumpur International Mobility Show

Turut menjadi tarikan ialah sebuah Proton X50 yang diubah suai dengan penampilan lebih sporty dan ekspresif, menyasarkan golongan pelanggan yang mahukan elemen gaya hidup serta personalisasi pada kenderaan mereka.

Kuala Lumpur International Mobility Show

Kuala Lumpur International Mobility Show

Pandu Uji Dan Aktiviti Interaktif Menanti Pengunjung

Pengunjung KLIMS 2026 juga boleh menyertai sesi pandu uji model terpilih seperti Saga, S70, X50, X70 dan X90 bagi merasai sendiri prestasi, keselesaan serta teknologi yang ditawarkan. Selain itu, ruang pameran PROTON turut menampilkan paparan teknologi interaktif, persembahan visual LED 3D, interaksi bersama robot serta pelbagai aktiviti media sosial yang menawarkan ganjaran kepada pengunjung.

Kuala Lumpur International Mobility Show

Pelanggan yang membuat tempahan kenderaan sepanjang KLIMS 2026 turut akan menikmati tawaran eksklusif yang disediakan oleh PROTON sempena acara tersebut.


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dianjurkan oleh Malaysian Automotive Association (MAA) dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia…
Pelancaran
Tiga model tersebut ialah MPV premium Voyah Dream, SUV mewah off-road M Hero II dan SUV mewah…
Berita Domestik
Ketiga-tiga konsep ini memperlihatkan bagaimana Toyota melihat masa depan mobiliti yang bukan…