Proton lancar Pakej Auto Rahmah berharga RM150, pemeriksaan 40 poin percuma

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: Twitter Tengku Zafrul
Proton Holdings Sdn Bhd hari ini secara rasmi melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Kempen terbaharu ini menggalakkan pemilik untuk menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah untuk mendapatkan pakej servis berharga RM150 dan tidak ketinggalan pemeriksaan keselamatan 40 mata secara percuma.
 

rahmah


Kempen yang bermula hari ini (12 April) hingga 31 Mei itu dilancarkan bagi menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata keputusan Proton untuk melancarkan kempen itu adalah selaras dengan usaha syarikat untuk menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan dan penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.
 

Rahmah


“Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar kami sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)  dan kami berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  berkata pemilik Proton terutama golongan B40 akan dapat memeriksa kenderaan mereka secara percuma dan membeli pakej servis mampu milik, yang akan meringankan beban kewangan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya berbesar hati kerana Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan, dan saya berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukannya,” katanya ketika melancarkan kempen itu di sini, hari ini.

Kempen Proton Rahmah 2023 menyasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model-model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira.