Proton Iriz RX Supercar - Iriz R5 untuk Rallycross, angka output 600 hp!!

oleh Mohamad Hanif|
Siapa sangka, kejuruteraan yang terbukti pada Proton Iriz kini menarik lebih banyak mata-mata untuk merasai sendiri keberkesanan hatchback buatan Malaysia itu beraksi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Terbaharu, pasukan yang berlumba dalam kejohanan FIA RallyCross Eropah, Team RX Racing mengumumkan mereka akan menggunakan Proton Iriz RX Supercar untuk bertanding di dalam kejuaraan seperti British Rallycross Championship 5 Nations Trophy, European Rallycross Championship dan World Rallycross Championship pada tahun hadapan.

Team RX Racing akan bekerjasama dengan firma Tony Bardy Motorsports (TBM) dan sudah tentu menggunakan kepakaran daripada Mellors Eliot Motorsport (MEM) dalam membangunkan Proton Iriz RX Supercar ini.

Secara asasnya, ia menggunakan kerangka Iriz R5 yang pernah kami paparkan sebelum ini, namun dengan kelengkapan dan modifikasi yang memenuhi regulasi dan peraturan yang telah ditetapkan untuk kategori RX Supercar.

 

jentera yang digunakan oleh Team RX Racing


Berdasarkan semakan ringkas di laman web Team RX Racing, mereka sebelum ini telah pun menggunakan jentera Ford Fiesta yang dilengkapi dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 570 kuasa kuda, dipadankan dengan transmisi sekuential enam nisbah kelajuan, sistem pacuan semua roda dan berat badan 1,300 kg.

Dengan spesifikasi tersebut, Ford Fiesta RX Supercar itu mampu memecut sepantas dua saat dari 0-96 km/j!

Menurut pengasas TBM merangkap ketua jurutera Team RX Racing, Tony Bardy berkata, selepas 15 tahun pasukan tersebut menggunakan jentera Ford Fiesta dan Focus, pelumba Ollie O'Donovon mahu mencuba sesuatu yang lari daripada kebiasaan, dan Proton Iriz R5 merupakan antara calon yang sesuai disebabkan reputasinya yang telah terbukti sebelum ini.

 


Memetik kenyataan prinsipal MEM, Chris Mellos berkata, ketika mereka membangunkan Iriz R5, mereka turut memikirkan kemungkinan jentera ini dijelmakan sebagai jentera rallycross.

Apa yang lebih penting menurut Chris adalah asas Iriz itu sendiri yang sudah cukup bagus kerana mempunyai jarak antara roda yang lebih panjang berbanding jentera R5 yang lain, dan dimensi yang lebih pendek secara keseluruhan.

Selain daripada itu, kejuruteraan asal Proton membolehkan Iriz mempunyai pergerakan suspensi yang lebih baik, serta geometri suspensi yang amat mengkagumkan.

Setakat ini, tiada sebarang informasi berkenaan spesifikasi Proton Iriz RX Supercar, akan tetapi ia bakal menampilkan spesifikasi yang sama seperti jentera RX Supercar seperti:

  • enjin 2.0 liter dengan induksi paksaan turbo
  • kotak gear sekuential enam nisbah kelajuan
  • kuasa 600 hp
  • berat sekitar 1,300 kg
  • sistem pacuan semua roda
  • kelengkapan aerodinamik untuk disesuaikan dengan perlumbaan rallycross.

Sumber: Paultan, Mailchi, Team RX Racing