Pelancaran kedua model itu yang dilakukan malam tadi melihat penambahan nilai kepada kedua-dua model Proton itu yang selama ini tidak menyinar seperti yang sepatutnya di pasaran tempatan.
Kita lihat apakan yang telah dilakukan kepada Proton Iriz dan Proton Persona 2019.
- Bentuk asal kekal sama, tetapi pembaharuan yang lebih segar jelas kelihatan hasil dari perubahan luaran.
- Iriz kini menggunakan lampu hadapan halogen dari Persona yang lebih ranggi (walaupun bukan lagi dari jenis projektor).
- Gril hadapan dengan ciri-ciri X70 juga memberikan sedikit rasa premium kepada hatchback ini.
- Bamper hadapan menerima dua liang sisi yang lebih besar, lengkap dengan lampu DRL jenis LED (untuk semua varian kecuali Standard).
- Bamper belakang juga mempunyai liang udara di sisi, tetapi lebih kepada kosmetik kerana ia tidak berfungsi.
- Reflektor merah nipis di kiri dan kanan bamper belakang menaikan seri bamper ini, dan membuktikan rekabentuk Proton masih agresif dan paling matang untuk jenama tempatan.
- Plastik berkilat hitam ditampal antara kedua-dua lampu belakang, dengan tulisan Proton untuk mengingatkan pemandu di belakang Iriz ini bahawa ia sedang cuba untuk mengekori sebuah Proton.
- Roda aloi 15-inci dengan dua tona nampak baharu, tetapi tidak begitu menyerlah. Apapun, ia kena dengan rekabentuk keseluruhan Iriz Facelift ini.
- Kabin Iriz tidak menerima perubahan yang besar sebenarnya tetapi ia jelas kelihatan.
- Contohnya, dua komponen dari X70 telah berjaya diselinap masuk ke dalam Iriz varian Premium - cermin pandang belakang tanpa bingkai dan tombol gear. Mungkin dengan cermin pandang belakang yang cantik itu, segelintir pemandu akan mula menggunakannya semasa merangkak di lorong memotong.
- Skrin LCD berwarna pada paparan meter untuk varian Executive dan Premium.
- Paparan meter yang lebih terang dan bermaya, lebih sesuai untuk golongan muda.
- Geely turut menyumbangkan sistem audio baharu untuk menggantikan sistem Android lama pada Iriz yang terkenal kerana mudah "hang".
- Dengan skrin sentuh 7.0-inci, sistem Global Key User Interface itu sama seperti yang ada pada model X70.
- Pembeli varian Premium bakal mendapat akaun 4G (percuma 1Gb setiap bulan untuk lima tahun) bagi kegunaan sistem audio "Hi Proton" tersebut.
- Walaupun enjin 1.3L dan 1.6L bukan EEV ini terpaksa dikekalkan, pembeli kini mempunyai lebih pilihan kerana Proton Baharu kini memperkenalkan semula varian 1.6L Executive CVT.
- Beberapa kelengkapan yang telah dilenyapkan secara senyap pada Iriz juga telah kembali - butang automatik naik turun untuk tingkap pemandu dan lampu automatik untuk varian model 1.3 Executive dan cermin sisi boleh lipat bila enjin dimatikan untuk varian 1.6L.
- Sistem CVT juga telah mendapat sentuhan Geely agar ia lebih menjimatkan bahanapi dan lebih responsif.
- Turut dipertingkatkan ialah kualiti NVH (lebih senyap dan kurang gegaran) serta prestasi membrek.
- Kelengkapan keselamatan masih kekal sama dan ini sangat penting. Varian Premium kekal dengan enam beg udara sementara varian lain masih menerima dua beg udara di hadapan.
- ABS dan EBD, kawalan stabiliti, Hill Start Assist dan tapak Isofix ialah kelengkapan standard untuk semua varian.
- Harga pula seperti yang diberitakan, telah diturunkan agar menjadikan ia pakej lebih mantap.
- Varian bermula dari Proton 1.3 Standard MT (manual) dengan harga RM36,700, 1.3 Standard CVT dengan harga RM39,700 (turun RM1,100), 1.3 Executive CVT dengan harga RM44,700 (turun RM1,700), 1.6 Executive CVT dengan harga RM46,700 dan 1.6L Premium CVT dengan harga RM50,700 (turun RM4,100).
- Sayang tiada lagi model 1.6 Premium MT tetapi memang tidak ramai peminat kereta alaf baharu yang pandai memandu kereta manual lagi.
- Di bawah ialah senarai harga (tanpa insurans) kesemua varian yang ada untuk Iriz 2019. Semua Iriz hadir dengan waranti lima tahun atau 150,000 km.