Proton digesa lantik mekanik sebagai ejen pemasangan OCH kustom

oleh Mohamad Hanif|
Seorang pengusaha bengkel terkenal Tam Turbo Motorsports, Mohd Fadzzel Mohd Sultan menggesa Proton untuk melantik mekanik yang mencipta hos penyejuk minyak (OCH) kustom sebagai ejen pemasangan rasmi dalam usaha untuk memberikan penyelesaian kepada para pemilik MPV Exora.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dalam masa yang sama, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Tam menyarankan Proton untuk terus mewajibkan pemilik meneruskan servis di bengkel syarikat kereta nasional itu sehingga tamat tempoh waranti.

Sebelum ini, Proton mengingatkan para pemilik Exora untuk tidak membeli komponen OCH kustom kerana ia tidak diuji di dalam makmal dan dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

Namun menurut laporan FreeMalaysiaToday, Pak Tam mempertikaikan peringatan tersebut dan mahu Proton mencari penyelesaian menyeluruh bagi mengubati isu ketahanan komponen itu demi kebaikan pemilik Exora.

Beliau menambah, cadangan supaya Proton melantik mekanik yang membuat OCH alternatif sebagai ejen pemasangan telah diajukan oleh beberapa kelab pemilik Exora kepada pengurusan tertinggi Proton, namun usaha tersebut tidak berhasil.

“‘Custom OCH’ ini pilihan. Macam kita beli ‘body part’ kereta tapi pelanggan yang bayar. Pelanggan akan cakap, nak kereta baharu tapi nak OCH (alternatif). Jadi, Proton izinkan kami pasang, (pelanggan) bayar pada kami. (Dalam masa sama) waranti (dengan Proton) jalan macam biasa. Servis semua masih dengan Proton.

“Dengan cara ini, nama Proton makin akan naik, sebab tak ada masalah OCH pecah. Kedua, Proton tak payah risau pelanggan akan lari, sebab mereka terikat dengan (servis) Proton,” katanya kepada FMT.

Pemilik Tam Turbo Motorsports itu berkata Proton sebelum ini berminat membeli hak reka cipta OCH alternatif daripada beliau, namun tawaran itu terpaksa ditolak atas pelbagai faktor.

“Saya ini, jam tiga empat pagi pun pelanggan telefon sebab OCH pecah di tengah jalan. Jadi, bila kita tak ada hak reka cipta itu, bagaimana kita nak bantu mereka?
 

OCH


“Saya tak berminat nak kerjasama cara mereka, dengan spek dan harga pun kena ikut cara mereka. Itu agak berat untuk pelanggan kita. Sebab rata-rata pelanggan kita bukan orang senang,” katanya yang terkenal dalam kalangan pemilik Exora sebagai ‘pakar OCH’.

Fadzzel berkata “nasihat” Proton agar pemilik Exora waspada terhadap OCH alternatif dalam pasaran tidak menggambarkan realiti di lapangan.

“Kalau mereka kata jangan beli daripada pihak luar sebab tak diuji…produk awak yang telah diuji pun ada kegagalan. Jadi, awak letakkan tahap kualiti produk awak itu dekat mana?

“Kami di bengkel-bengkel luar setiap hari dengar keluhan pelanggan. Pelanggan yang tiada duit…enjin pecah kena (baiki) sampai RM7,000-RM8,000, anda (Proton) tak jawab. Kami ini yang kena jawab,” katanya.

Fadzzel memberitahu sehingga kini, lima cawangan bengkel keretanya sudah memasang lebih 1,000 buah OCH alternatif untuk pelanggan.

Pemilik Exora, Azani Rusli, 48, memberitahu FMT, dia sanggup membelanjakan sehingga RM1,000 untuk menukar kepada ‘custom OCH’ berbanding risiko menanggung kerugian besar, sekiranya OCH asal rosak pada masa akan datang.

“Saya tempah ‘custom OCH’ sejak Disember tahun lepas tapi giliran saya hanya Jun ini. Kenapa begitu ramai orang sanggup tunggu? Sudah tentu ia berbaloi dengan duit mereka,” katanya yang sedang menunggu giliran servis kereta.

Sumber: FMT

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke…
Berita Domestik
"Selepas mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jumlah volum industri (TIV) bagi pasaran automotif…
Berita Domestik
PROTON telah menyumbangkan koleksi bahan bacaan kepada SMK Proton City di Tanjong Malim dan…