Proton Arena - Masihkah kau ingat pikap yang satu ini?

oleh Muhammad Md Tajudin|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Model-model lama Proton boleh dikatakan menyimpan pelbagai kenangan manis. Nostalgia pemilikan dan bagaimana Proton memasarkan sesebuah model boleh dikatakan masih lagi tersimpan segar di kalangan rakyat tempatan.

Era 90 an di mana Proton mengeluarkan sejumlah kereta berasaskan platform Wira boleh dikatakan paling berjaya dan bersejarah dalam syarikat itu.

Ia bermula dari Wira dan Satria sehinggalah Putra dengan pelbagai bentuk badan, standard, executive, limousine dan pikap kecil seperti Arena.

Wira juga digunakan oleh pelbagai jenis pelanggan, dari kereta keluarga, syarikat swasta, kerajaan, peronda Polis hinggalah kepada mereka yang berminat dalam dunia prestasi seperti Wira 1.8 EXI DOHC.

Senang kata, Wira dan pelbagai variannya dipandu oleh Karim, Keong sehinggalah kepada Karamjit Singh!

Wira atau Persona telah membawa nama Proton ke serata dunia dan model satu ini, walaupun tidak popular sewaktu pelancarannya dalam negara tetapi mempunyai permintaan kuat di Australia dan United Kingdom.

Model itu tidak lain tidak bukan ialah Proton Arena atau Jumbuck.

 

Proton Arena - Masihkah kau ingat pikap yang satu ini?

 

Ia dilancarkan di pasaran tempatan pada 2002 dan dikeluarkan sehingga 2010. Arena mempunyai tiga varian iaitu Freestyle, Sportdeck dan Fastback dengan enjin 4G15 yang dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan.

Enjin tersebut menggunakan sistem pengurusan EMS 400 dan melepasi tahap pelepasan Euro 2.

Tiga varian Arena menunjukkan perancangan produk Proton begitu mendahului zaman, ia untuk pengguna asas bagi mengangkut kargo hinggalah kepada Fastback buat mereka yang mempunyai gaya hidup aktif. 

Masakan tidak, kapasiti ruang kargonya seluas 800 liter dengan had beban sehingga 645 kg.

Praktikaliti serta keringkasan pada Arena telah menyumbang kepada harga terpakai yang tinggi, malah boleh dikatakan lebih tinggi dari Proton Satria GTI. Padahal sama-sama dua pintu.

Proton Arena juga adalah produk eksport utama ke luar negara. Berdasarkan rekod, Arena atau Jumbuck dipasarkan ke Australia, UK dan Afrika Selatan.

Walaupun selepas sedekad dilancarkan, Arena masih popular di UK. Dikatakan bahawa dari 1,800 unit yang didaftarkan di antara tahun 2003 hingga 2008 di Britain dan Ireland Utara, lebih dari 1,300 unit masih dalam rekod pendaftaran (suku ketiga 2015).

Dikatakan juga, lebih dari 80 peratus Arena yang dijual di UK masih lagi berada di atas jalan raya.

 

Proton Arena - Masihkah kau ingat pikap yang satu ini?

 

Ada satu cerita menarik tentang pikap ini di UK. Pada Oktober 2013, Proton UK telah meminjamkan Jumbuck LPG (guna gas) kepada Majlis Perbandaran Norfolk selama setahun dan selepas tempoh itu tamat, MPN (Majlis Perbandaran Norfolk) telah membeli terus sebab mereka memang suka sangat dengan Jumbuck!

Satu lagi perkara menarik ialah, pada masa itu memang banyak projek talaan kenderaan Proton oleh Lotus dan katanya model ini turut menerima sentuhan mereka.

Mana lagi hendak cari, pikap kecil dan murah macam ini ditala oleh Lotus - mungkin ia satu-satunya dalam dunia!

Bukan setakat suspensi malah gayaan badan pun mempunyai pengaruh Satria GTI. 

Setakat gergasi automotif beli pengeluar kereta super untuk buat SUV apa lah sangat. Proton beli Lotus untuk buat pikap. Lagi hebat. 

Ada yang rindukan Proton Arena dan mahu Proton kembali dengan pikap ini?

Arena mungkin sudah menjadi sejarah tetapi ia tetap kekal menjadi legenda pikap pertama buatan Proton.

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin 

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, kemudahan baharu itu mampu…
Berita Domestik
Pengadaptasian tenaga hijau tersebut yang telah dilancarkan dua tahun lalu telah membolehkan PROTON…