Prophecy - model konsep masa hadapan Hyundai

oleh Mohamad Hanif|
Model konsep yang dibawakan oleh Hyundai kali ini sedikit berbeza, dan lain daripada yang biasanya dibawa oleh pengeluar automotif Korea Selatan tersebut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Digelar sebagai Hyundai Prophecy, ia merupakan sebuah model kajian yang dilakukan oleh Hyundai bagi memperlihatkan arah dan hala tuju bahasa rekaan untuk diselarikan dengan bahasa rekaan Sensuous Sportiness. 
 


Jika sekali imbas, anda akan menyangka ia sebuah model konsep bagi generasi baharu Porsche 911, akan tetapi silhouette sporti yang dibawakan oleh Prophecy ini didakwa sebagai bentuk rekaan automotif yang terulung datang dari jenama Hyundai. 

Menurut Hyundai, konsep ini dibangunkan menggunakan platform senibina EV yang serba baharu bagi membolehkan ia menggandingkan keharmonian fungsi dan astetik. 
 


Berdasarkan gambar yang diterbitkan, boleh diperhatikan usaha dan kerja keras para pereka Hyundai dalam menjadikan Prophecy sebuah arca seni yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, terima kasih kepada aspek aerodinamik yang begitu mengujakan mata pemandang. 

Garisan badan yang sporti itu diteruskan dengan bahagian belakang yang menampilkan spoiler terbina, dan kedudukan yang tergantung itu ternyata berjaya menampakkan Prophecy bergerak walaupun dalam keadaan pegun. 
 


Lampu piksel pula dibawakan secara terus daripada model konsep Hyundai 45 untuk bahagian hadapan, lampu belakang serta lampu brek ketiga pada spoiler. 

Jarak antara roda yang sangat panjang (tipikal EV) digunakan sebaiknya bagi mencipta ruang kabin yang begitu luas, serta ketiadaan roda stereng menandakan Prophecy ini merupakan kenderaan swapandu sepenuh masa. 
 


Namun, di tempat duduk 'pemandu' terdapat sepasang tempat pemegang yang menyerupai fungsi kayu ria - satu di bahagian pintu dan satu lagi di konsol tengah.

Mungkin anda boleh mengawal kenderaan sekiranya diperlukan menerusi penggunaan komponen tersebut. 

Menurut Hyundai, penggunaan kayu ria tersebut sememangnya dikhususkan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang serupa seperti sebuah kenderaan sebenar, selain dibantu dengan antaramuka mesin-manusia yang membolehkan penumpang berinteraksi terhadap fungsi kenderaan dengan lebih mudah. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tidak mengejutkan apabila sedan fastback berkuasa elektrik itu menerima sambutan yang cukup…