PROLINTAS ingatkan pengguna SUKE tidak berhenti di bahu jalan semata-mata untuk bergambar

oleh Mohamad Hanif|
Untuk tempoh 24 jam pertama, pembukaan laluan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah berjaya merekodkan hampir 100,000 kenderaan menggunakan lebuh raya tersebut bermula 16 September 2022, jam 12.00 tengah hari hingga 17 September 2022.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Dato' Mohammad Azlan Abdullan, sambutan yang diterima amat luar biasa dan menjangkaui sasaran purata trafik harian fasa pertama SUKE, iaitu 80,000 kenderaan sehari.
 

prolintas


“Kebanyakan pengguna terawal Lebuhraya SUKE terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini.

PROLINTAS juga ingin mengingatkan tentang tindakan segelintir pengguna yang sanggup berhenti di lorong kecemasan semata-mata untuk merakam pemandangan di SUKE.

“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu adalah amat berbahaya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain,” tegas Dato’ Mohammad Azlan.

 


“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” tambah beliau.

Beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya.

Kon-kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.
 

prolintas


Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau “peronda SUKE” yang bertugas 24 jam juga melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas itu.

Papan tanda “Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat.

Mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna.

Bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Laluan sepanjang 24.4 km itu bakal melengkapkan jajaran utama Lebuhraya SUKE yang bermula dari Sri…
Berita Domestik
Laporan FMT hari ini memetik kata-kata Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof yang mengarahkan…
Berita Domestik
Para pengguna di sekitar kawasan tersebut boleh menggunakan Lebuhraya SUKE Fasa 1 bermula jam 12…