Projek pelebaran KL-Karak bermula Januari 2025 dengan terowong baharu

oleh HEZERI SAMSURI|
Projek pelebaran lebuhraya KL-Karak akan bermula pada Januari 2025 seperti yang dirancangkan dan akan menjanjikan prasarana yang dinaik-taraf demi untuk menangani jumlah trafik yang semakin meningkat di laluan tersebut.

Menurut AFA Infrastructure and Development Sdn Bhd (AFA), projek itu akan membahagikan lebuhraya itu kepada dua seksyen.
 
  • Seksyen 1 iaitu laluan sepanjang 19.8 km dari plaza tol Gombak ke Genting Sempah (terowong) dan akan dinaik-taraf dari tiga lorong ke empat lorong.
  • Seksyen 2 pula ialah laluan 22.5 km dari Genting Sempah ke plaza tol Bentong dan ia akan dinaiktaraf dari dua lorong ke tiga lorong.

Selain dari penambahan lorong di kedua-dua laluan (ke barat dan ke timur), median jalan atau pembahagi jalan juga akan dilebarkan dari 2,500 mm ke 3,000 mm untuk memastikan pengurangan risiko kenderaan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Menurut Vijayaraj Govindarajoo, Pengarah Eksekutif untuk AFA Prime Bhd yang bertanggung-jawab dalam projek pelebaran tersebut, selain dari penambahan lorong, bahu jalan juga akan dilebarkan demi meningkatkan lagi keselamatan pengguna.

"Lebuhraya di kawasan pergunungan jarang yang mempunyai bahu jalan selebar 3 meter tetapi kerana kami mahu memastikan keselamatan pengguna ditahap terbaik serta untuk mempercepatkan proses pengurusan kemalangan, AFA memutuskan ini perlu dilakukan," ujar beliau.

 

 

Sebuah lagi terowong baharu juga akan dibina Genting Sempah, tambahan kepada dua terowong yang sudah sedia ada.

Terowong baharu sepanjang 990 m itu akan mengurangkan kesesakan trafik di kawasan tersebut.

Menurut Vijay, terowong baharu itu akan digunakan untuk laluan ke Bentong sementara dua terowong lama untuk pengguna yang ke Gombak. 

"Ini ialah kerana pada kebanyakkan hari, laluan ke timur hanya sibuk sebelum simpang naik ke Genting. Namun begitu, bila trafik meningkat, terowong kedua akan dibuka untuk laluan kontra," terangnya lagi.

Selain dari penambahan lorong dan terowong, AFA juga akan meningkatkan usaha penstabilan cerun, menambah VBC (Vehicular Box Culverts), menaik-taraf sistem perparitan, mengubah lokasi-lokasi papan-tanda dan sebagainya, memasang sistem pemantauan dan kawalan trafik, memasang lampu jalanraya di sepanjang lebuhraya dan mewujudkan strategi pengurusan trafik semasa proses pembinaan.

 

 

 

Pengerusi Kumpulan AFA, Tan Sri Azmil Khalid berkata bahawa walaupun Lembaga Lebuhraya Malaysia mengarahkan pembinaan perlu dilakukan tanpa menutup sebarang lorong sedia ada, beliau mengakui bahawa kesesakan tetap akan berlaku kerana pengguna akan mengambil sikap berhati-hati dan memandu dengan lebih perlahan di kawasan pembinaan.

"AFA akan memastikan pengumuman-pengumuman mengenai keadaan trafik dilaporkan melalui media sosial bagi membantu pengguna merancang perjalanan mereka," kata Azmil.

Projek pelebaran KL-Karak ini akan memberikan peningkatan kenderaan sehingga 1,400 unit untuk setiap lorong pada setiap jam, atau peningkatan sehingga 25 peratus dari kapasiti sekarang.

 

 

Kos keseluruhan projek ini ialah sebanyak RM2.1 billion dan akan ditanggung sepenuhnya oleh AFA. 

"Kesemua pembinaan akan dilakukan di kawasan lebuhraya KL-Karak dan tidak akan membabitkan sebarang pembelian tanah," Azmil menerangkan.

Projek ini dijangka akan mengambil masa selama 48 bulan jika ia bermula seawal Januari 2025, ia akan siap pada awal tahun 2029.

AFA Infrastructure and Development Sdn Bhd (AFA) ialah syarikat yang mengambil alih ANIH Berhad selepas ANIH menjual kesemua saham mereka.

Kumpulan AFA kini terdiri dari tiga anak syarikat:

  • AFA PRIME Berhad (dahulu ANIH Berhad) - syarikat konsesi lebuh raya bagi Lebuhraya KL-Karak dan LPT1
  • AFA Construction & Engineering Sdn Bhd (dahulu Alloy Maintenance Engineering Sdn Bhd) - pakar dalam perkhidmatan penyelenggaraan dan kejuruteraan untuk lebuhraya dan infrastruktur berkaitan
  • AFA System & Services Sdn Bhd (dahulu Alloy Toll Management Sdn Bhd) - fokus kepada pengurusan dan kutipan tol