Projek MOSPEADA - bayangan masa hadapan operasi mobiliti ketenteraan

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada kemunculan semula Suzuki Katana ke dalam arena dua roda, salah satu perkara menarik yang ada pada acara INTERMOT 2018 ini ialah kehadiran projek MOSPEADA, sebuah projek prototaip motosikal ketenteraan milik bersama Jepun-Amerika Syarikat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Projek MOSPEADA, atau nama penuhnya Military Operation Soldier Protection Emergency Aviation Drive Armor yang direka oleh jurutera Jepun AramakiTech dengan kerjasama Boston Dynamics bagi membangunkan sebuah motosikal modular berperisai untuk kegunaan tentera. 
 


Ia diinspirasikan daripada superbike Jepun era penghujung 70-an sehingga awal tahun 80-an (sudah tentu Suzuki Katana!) dan animasi Jepun Genesis Climber MOSPEADA yang diterbitkan pada tahun 1983, menggabungkan teknologi robotik termaju kepada motosikal ketenteraan modular yang versatil. 
 


Sistem MOSPEADA ini terbahagi kepada dua, motosikal dan juga set perisai lengkap yang dipasang pada badan penunggang yang terdiri daripada helmet rekaan dari Arai, sarung tangan, pelindung badan dan juga kasut but yang diperbuat daripada bahan Kevlar. 

Set perisai yang kalis peluru, bahan kimia dan nuklear ini turut dilengkapkan dengan sistem kawalan suhu bagi memastikan pemakai kekal selesa ketika bertugas, dan juga sistem penjana tenaga kinetik bagi memberikan kuasa tambahan kepada sistem komputer terbina dalam termasuklah sistem komunikasi ketenteraan. 
 


Manakala sistem kenderaan MOSPEADA pula merupakan sebuah motosikal naked (yang dipasang beberapa panel perisai) yang dikuasakan oleh enjin turbine berbilang bahan api yang kecil berkuasa 300 hp dan digandingkan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang tahan lasak. 

Hasil gandingan kedua sistem tersebut membolehkan motosikal MOSPEADA mampu mencapai kelajuan 321 km/j di atas jalan rata dan 100 km/j untuk permukaan bumi yang tidak begitu baik, terima kasih kepada tayar semi solid jenis run-flat daripada Bridgestone dan sistem brek berkuasa dari Brembo.

MOSPEADA juga mempunyai tenaga bantuan elektrik yang terhasil daripada bateri berkapasiti tinggi yang mampu memberikan mod tunggangan yang senyap, berguna ketika menjalankan operasi di kawasan musuh tanpa perlu menghasilan bunyi yang ketara. 

Apa yang menarik pada projek MOSPEADA ini ialah teknologi berbilang bentuk (variable technology) yang membolehkan ia bertukar tiga mod iaitu:

Mod utama - motosikal yang pantas, ringan dan mampu menawan pelbagai jenis bentuk muka bumi

 

Mod kedua - perisai luaran yang terpasang pada motosikal boleh dicabut untuk membekalkan rangka exo-skeleton pada penunggang, memberikan kebolehan yang menjangkau keupayaan manusia biasa seperti mengangkat beban yang berat, melompat tinggi atau terbang untuk beberapa ketika.

 

Mod ketiga - oleh kerana rekaan yang modular, motosikal ini boleh bertukar kepada bentuk kiub kecil yang mampu diangkut kemana sahaja menggunakan kenderaan yang besar atau pesawat tentera

Saksikan bagaimana MOSPEADA bakal diaplikasikan kepada kegunaan di dalam dunia nyata menerusi animasi yang dipaparkan di bawah ini. 
 


Walaupun prototaip MOSPEADA yang dipamerkan pada INTERMOT tidak mempunyai sebarang senjata, namun pameran rendering yang terdapat di reruai AramakiTech menunjukkan beberapa versi MOSPEADA - kegunaan infantri ringan, tujuan peninjau, spec-ops dan sebagainya - sehinggalah kepada versi yang dilengkapi dengan senjata berat. 

Apa yang pasti, projek MOSPEADA ini masih tidak dimiliki oleh mana-mana kerajaan di dunia dan projek ini lebih kepada sekadar ujikaji teknikal bagi mengkaji potensi sebenar teknologi mobiliti di dalam bidang ketenteraan. 
 

Berikut merupakan spesifikasi motosikal prototaip MOSPEADA:

Motosikal: naked bike
Enjin: turbin (300 hp)
Bahan api: Apa jua yang mampu dibakar
Tenaga alternatif: Elektrik daripada bateri berkapasiti tinggi
Transmisi: klac berkembar lapan nisbah kelajuan - mod manual tersedia
Paparan: skrin sentuh jenis TFT
Kelajuan maksimum: 321 km/j
Suspensi hadapan: sistem telelever BMW, sistem swing-arm dengan kawalan hub-centered steering
Suspensi belakang: monoshock Öhlins
Sistem brek: Brembo (empat piston hadapan, piston tunggal di belakang)
Cakera hadapan: 330 mm
Cakera belakang: 250 mm
Sistem keselamatan: ABS dual-channel, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, mod tunggangan mengikut keadaan semasa termasuk mod senyap
 

Sumber: RideApart