Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB sudah 97 peratus siap

oleh Penyumbang Rencana|
Salah satu stesen (Kluang, stesen utama) yang telah siap dibina
Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) sudah mencapai kemajuan sebanyak 97 peratus manakala Stesen Segamat dibuka kepada orang ramai pada bulan Mei, 2024.

Menurut kontraktor tempatan yang bertanggungjawab membangunkan projek itu, usaha sama (JV) SIPP-YTL, Gemas-JB EDTP turut mencapai 28 juta jam bekerja tanpa kemalangan, satu pencapaian dari segi keselamatan pembinaan rel di Malaysia.

"Rekod ini direkodkan dari September 2020 hingga Mei 2024, menggariskan kejayaan EDTP Gemas-JB berkaitan keselamatan. Pencapaian ini sejajar dengan sasaran keselamatan ditetapkan iaitu 28 juta jam tanpa kemalangan untuk Gemas-JB EDTP," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pengarah Eksekutif JV itu, Yeoh Keong Yuan, berkata ia merupakan pencapaian penting bagi industri pembinaan rel negara terutamanya untuk semua pekerja SIPP-YTL.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan oleh pasukan kesihatan dan keselamatan kami untuk memastikan pemantauan ketat sepanjang tempoh kerja pembinaan tersebut. Keselamatan adalah keutamaan, kami sangat komited untuk mempromosikan persekitaran yang sihat dan selamat untuk semua orang," katanya.

Satu majlis telah diadakan bagi meraikan pencapaian 28 juta jam kerja tanpa kemalangan, dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Ir Mohd Hatta Zakaria; wakil pengarah projek Pasukan Gemas-Johor Bahru daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia, Ir Sukhaimi Marob; dan Ketua Pegawai Operasi Rel Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Ramesh Balakrishnan.

Mohd Hatta berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen setiap pihak yang terlibat dalam projek berkenaan.

"Saya mendapati bahawa SIPP-YTL telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mencapai sasaran ini termasuk pelaksanaan Diari Tapak SSS YTL dan Papan Pemuka bagi mempertingkatkan pemeriksaan keselamatan bagi projek ini. Tindakan proaktif ini menetapkan penanda aras untuk amalan terbaik dalam industri pembinaan," katanya.

Menurut Pemberitahuan Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan 2004 (NADOPOD), waktu jam kerja secara selamat ditakrifkan sebagai jumlah jam bekerja tanpa kemalangan yang mengakibatkan ketidakhadiran lebih daripada empat hari atau kejadian penting lain seperti kecederaan parah atau kematian.

Gemas-JB EDTP adalah projek perkhidmatan tren elektrik sepanjang 192 kilometer meliputi empat daerah utama di Johor - Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dengan kos keseluruhan RM8.9 bilion seperti yang diumumkan kerajaan pada Disember 2016.

Keseluruhan projek itu dijangka siap menjelang tahun 2025 sekali gus merancakkan ekonomi tempatan khususnya bagi masyarakat di Johor.

 

Bernama