Menurut laporan daripada Berita Harian, inisiatif ini diusahakan dibawah Program Kereta Lumba Elektrik Bersepadu Hidrogen (HyPER) dengan penyertaan lima entiti tempatan iaitu:
- NanoMalaysia Bhd
- Handal Energy Solutions Sdn Bhd
- Pulsar UAV Sdn Bhd
- MNA Energy Sdn Bhd
- Wheelspin Motorsports
Program ini juga turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut ketua pegawai operasi NanoMalaysia, Mohamad Hafiz Zolkipli berkata, program itu adalah projek khas pengkomersialan teknologi nano di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang menyaksikan suntikan modal sehingga RM500,000.
Entiti tempatan yang menyumbangkan tenaga berdasarkan kepakaran mereka, seperti Pulsar UAV membangunkan katrij sel bahan api; MNA Energy dengan teknologi ultrakapasitor dan sistem MESS, manakala Wheelspin Motorsports pula menyediakan platform kereta yang bersesuaian.
"Kami menyasarkan pembangunan kereta ini menjelang akhir tahun, dengan fasa pengujian pada tahun hadapan dan seterusnya ke peringkat pemasaran untuk mendapatkan pelabur.
"Secara potensnya, kereta ini boleh dibangunkan dalam tempoh lima tahun kerana kami dapati semua negara luar sudah memulakan inisiatif ini.
"Justeru itu, tiada alasan untuk Malaysia ketinggalan," katanya dalam temu bual dengan BH.
Kelima-lima entiti itu memeterai memorandum perjanjian (MOA) untuk bersama membangunkan HyPER di Malaysia pada Pameran Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2019), baru-baru ini.
penjelasan kenderaan sel bahan api, sumber dari Toyota Eropah
Mengulas lanjut, Mohamad Hafiz, berkata secara asasnya kereta itu dipacu tenaga elektrik sebagai sumber kuasa utamanya yang disimpan secara hibrid dalam ultrakapasitor menggunakan teknologi nano grafin dan bateri litium ion.
Justeru, katanya, pengguna di bandar mudah mendapatkan akses bekalan kuasa untuk mengecas kereta hanya dalam beberapa minit, manakala Fuel Cell digunakan bagi menjana kuasa tambahan atau lebih tork ketika pecutan.
“Dalam situasi tidak boleh mengecas kereta atau tiada akses bekalan elektrik, pengguna boleh beralih kepada hidrogen sebagai sumber kuasa utama dan kereta itu boleh dipacu oleh air.
“Kebiasaannya Fuel Cell lain memerlukan pembekalan hidrogen yang sudah tersedia, namun HyPER dibangunkan melalui keupayaan menjana hidrogennya sendiri menggunakan campuran air dengan pemangkin bahan kimia lain.
“Kami cuba mengindustrikan teknologi ini supaya boleh dimasukkan ke dalam HyPER kelak,” katanya.
Sumber: Berita Harian