Projek kereta nasional 3.0 - Melaka dicadang jadi hab automotif

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan Pusat sedia mempertimbangkan cadangan Melaka sebagai hab industri automotif bagi pembuatan projek kereta nasional ketiga selepas mengambil kira semua aspek termasuk tarikan pelabur.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata pemilihan lokasi kondusif, infrastruktur mencukupi, dan pembabitan ramai tenaga kerja antara perkara utama yang perlu dipertimbangkan.

“Ia terpulang kepada pelabur di mana dia mahu pergi (melabur), jika ramai tenaga kerja mahu membangun bersama, Melaka mungkin antara tempat yang kita galakkan pelabur.

“Secara peribadi, saya menyokong (cadangan) kerana wujudnya CTRM Aero Composites Sdn Bhd (kilang pembekal komponen kapal terbang). Jika kita lihat, kereta nasional baharu lebih kepada penggunaan komponen material dan teknologi lebih ke hadapan, jadi sesuai ia dicadangkan,” katanya.

Terdahulu, EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, menyatakan kesediaan kerajaan negeri mengenai cadangan itu kepada kerajaan Pusat berikutan mempunyai lebih lima lokasi berpotensi untuk dijadikan kawasan perindustrian baharu di negeri itu.

“Kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan perindustrian baharu atau destinasi projek kereta nasional ketiga yang sesuai bagi menampung kapasiti.

“Sudah tentu juga cadangan ini menumpukan kepada penggunaan teknologi hijau seperti ditekankan Ketua Menteri (Adly Zahari) yang menegaskan betapa serius kerajaan negeri mengenainya,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, Malay Mail