Program baharu ini hadir menggantikan program “NSX Refresh Plan” yang dilancarkan sejak 1993, yang menawarkan servis pemulihan NSX awal oleh juruteknik rasmi kilang Honda di Jepun. Selepas lebih tiga dekad, program tersebut kini akan ditamatkan dan digantikan dengan pendekatan yang lebih fleksibel dan berskala besar.
Honda memperkenalkan konsep baharu yang dipanggil "Genuine Compatible Parts" komponen yang bukan sepenuhnya OEM, tetapi dibangunkan secara sah dan sahih untuk menggantikan alat ganti yang sudah tidak lagi dikeluarkan. Ia akan dihasilkan menerusi kombinasi pelbagai kaedah seperti pencetakan 3D, pembuatan semula bahagian asal (remanufacturing), serta pengeluaran oleh pembekal yang diiktiraf Honda.
Dalam kenyataan rasmi (diterjemah dari bahasa Jepun), Honda menyebut:
“Dengan kerjasama pelbagai rakan perniagaan, kami sedang mempertimbangkan pengeluaran komponen alternatif bagi bahagian-bahagian yang kami tidak lagi dapat hasilkan atau bekalkan. Tambahan pula, dengan kemajuan teknologi seperti remanufacturing dan 3D printing, kaedah baharu untuk pengeluaran dan pemerolehan komponen kini semakin meluas.”
Menurut Honda, pemilik NSX di Jepun juga akan dapat menikmati servis restorasi penuh daripada kilang, namun buat masa ini program tersebut hanya akan ditawarkan di Jepun. Meskipun begitu, alat ganti yang dihasilkan melalui program ini berpotensi untuk dieksport kepada pelanggan di luar negara.
Program ini akan dilancarkan secara rasmi pada musim bunga tahun 2026, manakala maklumat lanjut termasuk senarai komponen yang terlibat dan anggaran harga akan diumumkan pada musim luruh 2025. Seperti diketahui, harga alat ganti NSX sememangnya tidak murah jadi peminat tidak perlu mengharapkan harga bajet.
Walaupun program ini ketika ini hanya tertumpu kepada model NSX, Honda mengesahkan rancangan untuk meluaskan sokongan kepada model prestasi lain pada masa akan datang, termasuk siri Type R, Honda S2000, dan mungkin juga kei car legenda, Honda Beat.
Langkah ini sekaligus menandakan komitmen jangka panjang Honda dalam menyokong komuniti pemilik dan pengumpul model prestasi klasik mereka satu perkembangan yang sangat dialu-alukan di kalangan peminat tegar jenama tersebut.
Sumber:
The Drive - Honda Has a New Plan To Support Its Aging Classics Like the NSX