Prodrive P25 - projek restomod Subaru Impreza, 25 unit, harga RM2.5 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah sekian lama menanti, Prodrive akhirnya mendedahkan secara rasmi projek terbaharu P25 - sebuah projek restomod Subaru Impreza bersempena dengan ulang tahun yang ke-25 pengenalan model ikonik Impreza 22B.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Sebanyak 25 unit sahaja P25 yang akan dihasilkan dengan menggunakan teknologi dan bahan terkini, namun ia secara asasnya masih lagi mengekalkan casis asal dua pintu Impreza WRX.

Antara perkara yang dititikberatkan adalah pengurangan berat badan, di mana berat keseluruhan jentera ini adalah kurang daripada 1,200 kg sahaja.

Untuk itu, Prodrive telah menghasilkan semula komponen seperti but, bonet, bumbung, ambang, cermin sisi, sayap belakang ala WRC dan bampar yang diperbuat daripada bahan komposit karbon, diikuti dengan panel pintu gentian karbon, dan tempat duduk opsyen yang lebih ringan.  

 

P25


Prodrive P25 ini menggunakan nadi boxer 2.5 liter flat-four yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 400 hp dan daya kilas 600 Nm, dipadankan dengan transmisi semi-automatik enam kelajuan yang mampu membuat penukaran gear sepantas 80 milisaat.

Dengan bantuan kawalan pelancaran dan turbo anti-lag, P25 ini mampu memecut sepantas bawah 3.5 saat sebelum mencapai 100 km/j.

Enjin tersebut menggunakan asas daripada blok silinder 2.5 liter Subaru yang terkini, namun telah direka semula oleh pasukan trenkuasa Prodrive dengan menampilkan komponen dalaman bespoke, seperti pelapik silinder, omboh, rod penyambung, dan valvetrain dengan sistem pemasaan sesondol berubah-ubah.
 

25


Selain itu, Prodrive turut memasang unit pengecas turbo Garrett, intercooler berprestasi tinggi, kotak udara, diikuti dengan sistem ekzos perlumbaan Akrapovic dengan sistem peredam by-pass aktif.

Kuasa 400 hp/600 Nm itu disalurkan kepada sistem pacuan empat roda yang dibantu dengan differential tengah aktif dan LSD di depan dan belakang.

Sistem suspensi asal topang MacPherson masih lagi dikekalkan, dibantu dengan unit peredam Bilstein boleh laras, sementara spring dan bar anti-oleng pula dioptimasikan untuk pengendalian yang lebih baik.
 

P25


Kuasa pemberhentian pula diserahkan kepada sistem brek AP Racing yang terdiri daripada cakera berliang 380 mm dan angkup enam omboh di depan, diikuti rotor berliang 350 mm dan angkup empat omboh di bahagian belakang.

Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza 235/35/19.

Bahagian ruang kabin Prodrive P25 ini telah dihasilkan semula bagi mencipta semula dalaman Impreza 1990-an yang asli menggunakan gandingan bahan kulit, alcantara dan juga trim karbon.

Secara standard, P25 boleh memuatkan empat orang pada satu-satu masa, namun terdapat opsyen untuk membuang terus tempat duduk belakang bagi memberikan laluan kepada pemasangan sangkar keselamatan separa.
 

P25

 

Jentera ini dilengkapi dengan sistem launch control ala WRC yang menggandingkan operasi pendikit fly-by-wire dan klac di dalam kotak pedal pemasangan lantai, di mana ia secara automatik akan memastikan pecutan optimum menerusi gear satu, dua dan tiga dari pegun tanpa memerlukan input daripada pemandu.

Bahagian papan pemuka pula dilengkapi dengan skrin berdefinisi tinggi yang turut menyertakan fungsi data logger, pelarasan tetapan pendikit, pemetaan prestasi enjin, serta pelarasan fungsi anti-lag.

Sementara di bahagian tengah pula terdapat brek tangan hidraulik stail WRC sebagai tambahan kepada brek parkir elektrik standard sedia ada.

Projek Prodrive P25 ini turut mendapat sentuhan daripada Peter Stevens selaku pereka asal jentera Impreza WRC 1997, serta dibantu oleh pengarah teknikal David Lapworth yang bertanggungjawab membangunkan model pertama Impreza WRC 25 tahun yang lalu.

Unit pembangunan pertama P25 ini akan muncul secara rasmi pada acara Goodwood Festival of Speed pada penghujung minggu ini.

Kesemua 25 unit P25 ini akan dibina secara eksklusif di ibu pejabat Prodrive di Banbury, UK, dengan harga jualan bermula dari £460,000 (RM2,479,123).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tidak lagi bersembunyi, Prodrive P25 tanpa segan silu menunjukkan rupa yang sebenar yang menyerupai…