Langkah ini selaras dengan usaha PRO-NET untuk menyokong pertumbuhan ekosistem EV tempatan serta memperkukuh kemudahan infrastruktur bagi pemilik Proton e.MAS dan smart, khususnya mereka yang tinggal di kediaman bertingkat yang sebelum ini mengalami keterbatasan dari segi akses pengecasan domestik.
“Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah dan praktikal. Kami menyasarkan untuk membantu lebih ramai pengguna beralih kepada mobiliti elektrik tanpa halangan infrastruktur, terutamanya bagi penghuni bangunan bertingkat,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang.
Dengan penyertaan empat CPO baharu ini, pemilik EV kini boleh menikmati akses pengecasan di 320 lokasi kondominium dan apartment. Termasuk kerjasama terdahulu bersama EV Connection (EVC) yang diumumkan pada Disember 2024, jumlah keseluruhan titik pengecasan di bangunan kediaman bertingkat kini mencecah 1,053 unit, sekaligus menyumbang kepada 90% liputan bagi keperluan pengecasan awam di Malaysia.
Kerjasama ini diumumkan secara rasmi dalam satu majlis menandatangani perjanjian di Centre of Excellence PROTON, Subang Jaya, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha negara menuju kelestarian mobiliti dan karbon sifar bersih.
Setiap CPO yang terlibat memainkan peranan tersendiri dalam menjayakan usaha ini:
- Charge+, pengendali pengecas terbesar dari Singapura, kini giat memperluas operasinya di Malaysia dengan pemasangan di 18 kondominium.
- ChargeSini, pengendali tempatan yang memiliki lebih 1,010 titik pengecasan aktif, bakal menambah 204 lokasi kondominium baharu.
- Charge N Go memberi tumpuan kepada pemasangan pengecas di 93 kondominium dan tempat kerja.
- RExharge, penyedia tenaga bersih berpengalaman, akan menyumbang melalui pemasangan di lima lokasi terpilih, disokong oleh pengalaman lebih 1,000 projek kediaman.
Salah satu kelebihan utama kerjasama ini ialah penyediaan kadar pengecasan istimewa kepada pemilik Proton e.MAS dan smart, yang akan dinikmati melalui aplikasi rasmi Proton e.MAS dan Hello smart.
Promosi ini akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Disember 2025, dengan kadar bermula serendah RM0.75/kWh, bergantung kepada jenis pengecas dan penyedia.
Senarai kadar promosi oleh rakan CPO adalah seperti berikut:
Dengan kadar ini, pengguna dijangka menikmati penjimatan sehingga RM150–RM200 sebulan, sekaligus mengurangkan jumlah kos pemilikan EV secara keseluruhan.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi pengecasan, kadar promosi dan senarai kondominium yang terlibat, sila layari aplikasi Proton e.MAS, atau ikuti saluran rasmi media sosial di Facebook, Instagram, TikTok dan Xiaohongshu melalui akaun Proton e.MAS Cars.