Beliau berkata, KTMB menyediakan keseluruhan 15,960 tempat duduk bagi laluan KL Sentral-JB Sentral, dengan kira-kira 7,300 tempat duduk diperuntukkan untuk perjalanan tambahan.
"Bagi laluan Gemas-JB Sentral pula, KTMB menyediakan kira-kira 4,400 tempat duduk dan setakat petang Jumaat 60 peratus sudah dijual.
"Sehubungan itu, kami menawarkan diskaun 30 peratus bagi laluan Gemas-JB Sentral dan menggalakkan pengundi menggunakan perkhidmatan ini untuk pulang mengundi," katanya dalam sidang media di KL Sentral, pada Jumaat.
PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditentukan oleh 2,727,926 pemilih berdaftar pada hari ini (Sabtu).
KTMB turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi perkhidmatan Shuttle Selatan yang menghubungkan Johor Bahru dengan Kulai serta laluan Pasir Gudang-Kempas.
Beliau berkata, pihaknya berharap lebih ramai pengundi dan warga Johor memanfaatkan perkhidmatan kereta api yang disediakan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya sepanjang tempoh PRN.
"KTMB amat menghargai sambutan yang diterima, khususnya daripada pengguna ETS yang terus memberikan keyakinan terhadap perkhidmatan kami.
"Rata-rata penumpang yang ditemui juga memaklumkan mereka mahu pulang mengundi dan diharapkan proses pengundian esok berjalan lancar," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pihaknya akan memberikan perkhidmatan yang sama ketika PRN Negeri Sembilan, Azlan memaklumkan perkara itu terlalu awal untuk diputuskan.
"Kita akan lihat mengenai perkara itu, tetapi buat masa sekarang kita mahu selesaikan untuk PRN Johor dulu. Tapi maklum balas daripada penumpang kebanyakannya berpuas hati tempat duduk tambahan yang kami sediakan ini," katanya.
Sementara itu, penumpang, Lelawati Yunam, 48, berkata beliau teruja dengan kemudahan yang disediakan KTMB kerana memudahkan urusan orang ramai, khususnya mereka yang bekerja di Kuala Lumpur untuk pulang mengundi di Johor.
"Alhamdulillah, saya memang sangat teruja. Saya bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke Kulai khusus untuk mengundi.
"ETS sangat memudahkan perjalanan. Saya tidak perlu memandu atau membuat tempahan yang rumit kerana semuanya boleh dilakukan menerusi aplikasi.
"Ini kali pertama saya menaiki ETS untuk mengundi selepas melihat ramai memberi maklum balas positif. Kalau naik bas, tempoh perjalanan lebih kurang sama, tetapi ETS jauh lebih selesa, segala kemudahan ada di dalam ETS dan saya boleh berehat sepanjang perjalanan tanpa perlu 'melayan' jalan yang sesak," katanya.
Seorang lagi penumpang, R Pravin, 19, berkata beliau memilih ETS untuk pulang ke Kluang bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama kerana perjalanan lebih pantas dan selesa.
"Saya sudah menggunakan ETS sejak mula memasuki universiti. Setiap minggu saya akan balik ke kampung dan biasanya membeli tiket lebih awal.
"Berbanding dahulu, perjalanan menggunakan KTM biasa mengambil masa lebih lama, tetapi ETS hanya sekitar tiga jam setengah.
"Saya pulang kali ini khusus untuk mengundi. Jika memandu kereta, kita berdepan kesesakan lalu lintas, tetapi ETS lebih selesa dan mempunyai pelbagai kemudahan.
"Saya harap KTMB dapat menambah lebih banyak tempat duduk kerana permintaan sangat tinggi. Nasib baik saya membeli tiket kira-kira dua minggu lebih awal," katanya.