Previu Mazda MX-30, EV dengan jarak gerak 199 km, mula dijual menjelang Q4 2022

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena dengan majlis buka puasa bersama pihak pengurusan Mazda Malaysia, Bermaz Motor dalam masa yang sama turut memperlihatkan buat kali pertama SUV elektrik yang bakal dijual secara rasmi pada tahun ini, Mazda MX-30.

Diperkenalkan buat kali pertama pada Tokyo Motor Show 2019, Mazda MX-30 merupakan kereta elektrik produksi pertama jenama itu yang dibangunkan untuk pelanggan yang tidak mahu mengorbankan kepuasan pemanduan apabila mereka membeli sebuah EV.
 

MX-30


Reka bentuk luaran Mazda MX-30 merupakan evolusi baharu rekaan Kodo - Soul of Motion, dengan bentuk crossover coupe dan bukaan pintu suicide yang unik mengingatkan kita kepada model RX-8.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,395 mm, lebar 1,795 mm, tinggi 1,555 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,655 mm.
 

MX-30


Trenkuasa MX-30 terdiri daripada motor elektrik tunggal pacuan roda depan yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 143 hp dan daya kilas 271 Nm, serta pek bateri berkapasiti 35.5 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 199 km.

Mazda MX-30 menyokong sistem pengecasan normal AC serta pengecasan pantas DC, di mana tempoh pengecasan 0-80 peratus hanyalah sepantas 36 minit menggunakan pengecasan pantas DC 40 kW.

Pengecasan penuh menggunakan soket domestik di rumah memakan masa selama 12 jam, namun ia boleh disingkatkan kepada 5 jam sahaja dengan menggunakan Wallbox 6.6 kW.
 

MX-30


Susun atur ruang kabin pula mengekalkan elemen yang ringkas, tapi kekal premium dan elegan pada masa yang sama, diikuti dengan rekaan konsol tengah jenis terapung yang menempatkan skrin tambahan untuk kawalan suhu kabin.

Dari segi keselamatan, Mazda MX-30 didatangkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan tidak ketinggalan cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.
 

MX-30


Bermaz menyasarkan harga jualan Mazda MX-30 di bawah julat RM200,000 di mana ia akan diumumkan kelak, dan akan mula dijual menjelang suku keempat tahun ini (Q4 2022).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, ia tidaklah hadir dalam bentuk yang berkuasa seperti yang digunakan pada model RX-7 dan RX-8…
Berita Domestik
Menurut laporan daripada Maybank Investment Bank (melalui Paultan), pengedar rasmi Mazda, Bermaz…
Berita Global
Butiran lanjut berkenaan trenkuasa SUV Elektrik ini tidak didedahkan, namun besar kemungkinan Mazda…