Biarpun Toyota kini sudah pun mempunyai barisan kereta sports yang ampuh seperti GR Supra, GR Corolla, GR86 dan GR Yaris, ada di antara para peminat Toyota tetap menanti-nantikan kemunculan semula model Celica di persada dunia.

Laman web Jepun Best Car Web baru-baru ini melaporkan presiden baharu Toyota, Koji Sato dan pengerusi Akio Toyoda bercakap berkenaan idea untuk melahirkan Celica baharu semasa acara perlumbaan Japanese Rally Championship berlangsung.
Menariknya, Best Car Web berjaya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Toyota Jepun berkenaan kenyataan dua orang kuat tersebut.

Toyota membalas dengan kenyataan pendek, “Presiden baharu Lexus dan GR, Sato mempunyai hasrat untuk terus mengeluarkan model-model sport GR.”
Memetik sumber yang rapat dengan hal ehwal dalaman Toyota, laman tersebut mendakwa model pengganti Celica itu berkemungkinan besar akan dilancarkan sebagai projek pertama di bawah naungan presiden baharu.

“Sekiranya projek tersebut bermula sekarang, ia mungkin akan menjadi sebuah model sports coupe BEV.”
Perkara tersebut tidak mustahil menjadi kenyataan, memandangkan terdapat beberapa jenama automotif yang mula menghidupkan semula plet nama klasik dan mengubahnya menjadi sebuah kereta sports berkuasa elektrik.
Baca: 10 Fakta Menarik Pasal Toyota Celica
Baca: Toyota daftar tanda dagang Celica
Baca: Celica baharu guna tenaga hidrogen?
Sumber: Best Car Web