Laporan berhubung insiden tersebut yang telah dibentangkan kepada Kabinet oleh Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong pada 9 Jun lalu turut menyenaraikan 23 cadangan untuk penambahbaikan sistem LRT.
Kementerian Pengangkutan akan melakukan audit untuk memantau penambahbaikan secara berkala itu.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah (gambar bawah) menerangkan liputan komunikasi yang tidak begitu jelas dan kelewatan perkhidmatan telah memberikan tekanan tinggi kepada mereka untuk menggerakkan tren yang dipandu secara manual dan secara tidak langsung menjadi punca SOP tidak dipatuhi sepenuhnya.
Langkah-langkah segera yang telah diambil dan telah berkuatkuasa sejak 30 Mei lalu termasuklah:
1. Menetapkan keperluan dua Hostler bagi segala pemanduan tren manual untuk jajaran di bawah terowong untuk LRT Laluan Kelana Jaya antara stesen Pasar Seni dan Damai.
2. OCC dan Hostler diwajibkan memastikan arah pergerakan tren yang dipandu adalah betul, tanpa sebarang kesangsian dan rasa ragu-ragu.
3. Membuat tambahan zon perlindungan atau ‘Manual Route Reservation (Automatic Train Protection) Buffer Zone’ kepada tren-tren yang terputus hubungan bagi memastikan tren berhenti pada jarak yang lebih jauh.
4. Pergerakan tren-tren secara manual dihadkan dengan kelajuan maksima pada hanya 20 km sejam.
5. Buletin Keselamatan telah dikeluarkan secara kerap dan berkala beserta penerangan semula tentang aspek keselamatan dan SOP kepada semua tenaga kerja Prasarana.
6. Mempergiatkan latihan tindakan kecemasan mini atau ‘Mini ERP Exercise’ untuk dijalankan pada setiap Ahad malam dengan penekanan kepada senario ‘menyelamat tren yang terputus komunikasi dan pemanduan tren manual’ bagi memantapkan lagi keupayaan staf dan sistem yang digunakan terutama yang melibatkan kawasan yang sukar diakses seperti terowong bawah tanah dan jejambat (‘viaduct’).
Sehinga hari ini, dua orang penumpang yang cedera akibat insiden itu masih dirawat di wad biasa di Hospital Kuala Lumpur sementara selainnya telah dibenarkan untuk pulang.
Prasarana menydiakan bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan perbelanjaan lain yang berkaitan. Sebelum itu, ia telah memberikan wang ihsan segera kepada semua penumpang terbabit.
Perkhidmatan kaunseling turut diberikan oleh Prasarana, dibantu oleh Lembaga Kounselor Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Temujanji untuk perkhidmatan ini boleh dibuat menerusi Talian Krisis (014 737 1330 dan e-mel [email protected]) dan akan disediakan selama mana ia diperlukan.
Sehingga hari ini, seramai 73 orang telah tampil untuk menerima bantuan segera wang ihsan.