Prasarana akan beri kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa siasatan

oleh Mohamad Hanif|
Pihak Prasarana Berhad akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan agensi di bawahnya.

Selain daripada itu, pihak Prasarana juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan insiden berkenaan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010.

Menurut Pengerusi Prasarana, YB Dato' Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman berkata, "bagi pihak Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja Prasarana, kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penumpang yang terlibat di dalam insiden yang tidak diingini ini.

"Kami amat sedih dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun.

Dalam masa yang sama, Tajuddin turut mengumumkan tiga bentuk bantuan yang akan diberikan kepada para penumpang yang terlibat merangkumi:

  • Bantuan kewangan khas bernilai RM1,000
  • Bantuan kewangan menampung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung
  • Bantuan sara hidup bagi mereka yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini

Prasarana turut mengesahkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa dengan menggunakan landasan tunggal dengan kekerapan 10 minit waktu puncak (30 minit waktu luar puncak) dan disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma ketika waktu puncak disediakan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari setelah semua kerja pembersihan dan pemulihan selesai.

Prasarana juga mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja satinatsi di stesen KLCC dan kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Dalam kejadian yang berlaku malam semalam, tren yang membawa penumpang seramai 213 orang telah bertembung dengan tren yang dipandu secara manual, mengakibatkan 64 orang menerima rawatan di HKL, manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan.

Daripada jumlah 64 orang tersebut, enam orang berada dalam keadaan kritikal dan tiga daripadanya memerlukan bantuan ventilasi.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Saman tersebut dikemukakan oleh plaintif iaitu Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena…
Berita Domestik
Baru-baru ini, satu Majlis Konvokesyen ke-4 Kumpulan Prasarana telah diadakan, yang menyaksikan…
Berita Domestik
Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Prasarana…