Praga Bohema, kereta hiper guna enjin Nissan GT-R!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Praga Bohema
Praga Bohema
Praga adalah satu daripada pengeluar kenderaan paling lama di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1907, Praga menghasilkan kereta, motosikal, kenderaan komersial dan kapal terbang.

Sejarah Praga sebenarnya bermula sebelum itu lagi dan terlibat di dalam pengeluaran produk industri berat seperti kereta api stim, jambatan dan sebagainya.

Pengeluaran kereta merosot selepas Perang Dunia Kedua dan tahun-tahun berikutnya menyaksikan syarikat dari Republik Czech itu menghasilkan kenderaan berat.

 

Praga Bohema

 

Pada tahun 1999, Praga tampil dengan motosikal enduro ED250 dan ED610 menyusul pada tahun berikutnya.

Pada tahun 2009, Praga mula mengeluarkan kart perlumbaan dan digunakan di serata dunia. Setiap tahun sehingga 7,000 unit kart lumba dikeluarkan oleh Praga.

Praga terus berkembang dan pada tahun 2012 mengeluarkan kereta lumba R4S dan R1. 

Setelah berdekad lamanya, Praga kembali ke jalanan dengan menawarkan kereta sport R1R pada 2016.

 

Praga Bohema

 

Terbaru Praga memperkenalkan Bohema, sebuah kereta hiper dua tempat duduk dengan enjin di tengah dan berat 982 kilogram (berat basah tanpa petrol).

Apa yang menarik pada kereta ini? Selain reka bentuk agresif, Bohema menggunakan enjin 3.8 liter turbo berkembar dari Nissan GT-R!

Kereta ini dihasilkan bagi menyahut cabaran bekas pelumba Formula Satu dan duta Praga, Romain Grosjean bagi menghasilkan kereta yang luar biasa untuk litar dan jalanan.

Ringkasnya, sebuah kereta yang boleh dipandu ke litar, pakai topi keledar dan mengelilingi litar dan pulang semula ke rumah.

 

Praga Bohema

 

Enjin PL38DETT diubah suai dari enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar Nissan GT-R yang digunakan sejak tahun 2007 lagi.

Nissan membekalkan enjin ini kepada Praga manakala pembangunan dan keperluan penyelenggaraan dibuat dengan kerjasama Litchfield Engineering dari United Kingdom.

Litchfield mempunyai pengalaman lebih dua dekad di dalam penalaan dan turut terkenal dengan enjin GT-R.

Untuk Bohema, Litchfield menanggalkan enjin dan memasang takungan kering (dry sump) yang mengurangkan tinggi keseluruhan sebanyak 140 milimeter.

 

Praga Bohema

 

Ubah suai itu membolehkan enjin dipasang lebih rendah pada Bohema dan mengurangkan risiko lonjakan minyak (oil surge) semasa melalui selekoh dengan laju.

Beberapa lagi ubah suai dibuat untuk meningkatkan ketahanan dan kuasa termasuk menggantikan pengecas turbo baharu.

Untuk spesifikasi asas dari Litchfield ini, Praga mensasarkan output sehingga 700 kuasa kuda (hp) pada 6,800 rpm dan tork 725Nm dari 3,000 hingga 6,000 rpm.

 

Praga Bohema

 

Pernafasan enjin dibantu oleh ekzos titanium lengkap dari turbo hingga muncung ekzos dan turut dilengkapi pengubah pemangkin.

Enjin Bohema dipadan bersama transmisi berturut Hewland dengan klac robotik untuk mod pemanduan separa automatik.

Seperti sebuah kereta lumba klasik dan kereta super, enjin dipasang di belakang kokpit dan transmisi di belakang enjin yang memacu roda belakang.

Bentangan itu turut mengoptimumkan keseimbangan berat optimum dan tahan respon di selekoh. Tidak dilupakan tangki minyak 74 liter untuk dipandu jauh.

 

Praga Bohema

 

Berapa jumlah Praga Bohema yang dihasilkan? Terhad seperti biasa dan sekitar 20 buah sahaja setiap tahun.

Pengeluaran dijadual bermula pada setengah tahun kedua 2023 dan mengikut perancangan awal sebanyak 10 buah sahaja dulu.

Berapa pula harganya? 1.1 juta Pound Sterling (RM5.94 juta).

Penulis: Muhammad Md Tajudin