'Power bank' terbakar dalam kabin pesawat Scoot, dua penumpang cedera

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Channel News Asia
Dua penumpang cedera selepas sebuah alat pengecas mudah alih atau power bank terbakar dalam penerbangan Scoot menuju ke Singapura pada Selasa.

Jelas jurucakap syarikat berkenaan, penerbangan Scoot TR993 yang berlepas dari lapangan terbang Taoyuan di Taipei kembali ke pintu masuk selepas power bank milik salah seorang penumpang menjadi terlalu panas dan terbakar semasa pesawat itu sedang berlepas.

Katanya, pemilik power bank itu dan rakannya mengalami luka melecur di jari dan bantuan perubatan telah diberikan kepada mereka.

“Kami menjadualkan semula penerbangan dan menyediakan penginapan serta makanan kepada penumpang yang terjejas,” katanya.

Berdasarkan laporan Channel News Asia, pihak berkuasa lapangan terbang dimaklumkan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 7.40 malam.

Anggota bomba dikerahkan untuk mengawal api yang marak dan asap yang berkepul di dalam kabin dan pesawat itu dibenarkan kembali ke pintu pagar selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Bagaimanapun insiden itu tidak menjejaskan operasi berlepas dan mendarat di lapangan terbang Taoyuan.

“Scoot memohon maaf atas kejadian itu. Keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan kami,” kata syarikat penerbangan itu sambil menambah bahawa siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  “Pemilik melihat kereta terbabit mula mengeluarkan asap dari dalam dan mendapati ‘power bank’…