Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid berkuasa 689 hp/870 Nm, 0-96 kmsj tiga saat!

oleh Mohamad Hanif|
Porsche sebelum ini telah melancarkan model Panamera facelift pada bulan Ogos dengan varian Turbo S, dan kini menambah sebuah lagi varian baharu Panamera yang lebih berkuasa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Varian yang dimaksudkan adalah Panamera Turbo S E-Hybrid 2021 dan ia secara tidak langsung menjadi model Porsche kedua paling berkuasa pada ketika ini.

Apa yang menjadikannya lebih berkuasa adalah penggunaan trenkuasa plug-in hybrid yang menampilkan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar yang menghasilkan 563 kuasa kuda, serta motor elektrik 134 hp yang memperoleh kuasanya daripada pek bateri 17.9 kWh.

 


Secara keseluruhan, Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid ini mampu menghasilkan 689 kuasa kuda dan 870 Nm daya kilas yang membenarkan pecutan 0-96 km/j dalam masa tiga saat tepat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 315 km/j.

Varian seterusnya ditujukan kepada pelanggan yang tidak mempunyai bajet yang besar, iaitu Panamera 4 E-Hybrid 2021 yang diposisikan di bawah varian Panamera 4S E-Hybrid.

Varian ini dilengkapi dengan enjin V6 turbo berkembar, dan motor elektrik yang diintegrasikan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, dengan angka output 455 kuasa kuda.

Pecutan 0-96 km/j pula adalah sekitar 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 280 km/j.

 


Dari segi jarak operasi sifar emisi, Porsche mendakwa varian Panamera Turbo S E-Hybrid mampu bergerak sejauh 50 km manakala varian Panamera 4 E-Hybrid pula mampu mencapai jarak 56 km mengikut data kitaran WLTP EAER City.

Sebuah lagi varian adalah Porsche Panamera 4S 2021 dengan enjin V6 2.9 liter turbo berkembar yang menghasilkan 443 kuasa kuda, dan pecutan sepantas 3.9 saat (0-96 km/j) dengan pakej opsyen Sport Chrono, manakala kelajuan tertinggi bertambah 6 km/j kepada 295 km/j.

 


Pelanggan di Jerman sudah boleh menempah Porsche Panamera kegemaran mereka, di mana ia dijangka tiba di pusat pengedar menjelang Disember ini.