Porsche Panamera 2021 hadir dengan varian baharu Turbo S - 620 hp, 820 Nm, 0-100 kmsj 2.9 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah berjaya membuktikan prestasi sebenar dengan mencatatkan rekod terpantas untuk segmen kereta eksekutif, Porsche akhirnya secara rasmi melancarkan model facelift Panamera 2021.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pencapaian tersebut membawa maksud Porsche tidak sekadar melancarkan model facelift tanpa sebarang pembaharuan terhadap trenkuasa Panamera.

Perubahan yang paling signifikan adalah pengenalan model Turbo S bagi menggantikan model Turbo, di mana enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar itu kini mampu menjana 620 kuasa kuda dan 820 Nm - penambahan 70 hp dan 50 Nm.

Peningkatan kuasa ini membolehkan Porsche Panamera memecut sepantas 2.9 saat dari 0-100 km/j, manakala versi Executive dengan jarak antara roda yang sedikit panjang pula mengambil masa sekitar 3 saat sahaja.

 


Selain daripada model Turbo S, Porsche juga turut memperkenalkan model plug-in hybrid, Panamera 4S E-Hybrid yang menampilkan gandingan enjin V6 2.9 liter turbo berkembar dengan motor elektrik, menjadikan angka output sekitar 552 hp/750 Nm.

Panamera 4S E-Hybrid ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat dengan bantuan Launch Control sebelum mencapai kelajuan tertinggi 298 km/j, tidak seperti varian Panamera yang lain (315 km/j).

Pek bateri telah dinaiktaraf kepada 17.9 kWh (berbanding 14.1 kWh) di mana ia mampu membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 54 km berdasarkan data kitaran WLTP.

 


Sementara model asas Panamera dan Panamera 4 pula menerima nadi 2.9 liter turbo berkembar V6 dengan angka output 325 hp dan 450 Nm bagi menggantikan enjin 3.0 liter turbo tunggal pada model terdahulu.

Selain daripada aspek trenkuasa, Porsche turut memfokuskan kepada aspek pengendalian dan pemanduan yang lebih sporti, seperti contoh sistem suspensi aktif Porsche Active Suspension Management (PASM) telah menerima peningkatkan terhadap kadar keselesaan redaman, manakala kadar kestabilan badan juga turut dipertingkat dengan bantuan penstabilan olengan elektrik menerusi sistem Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport).

 


Penampilan luaran Porsche Panamera 2021 kini menerima beberapa perubahan, di mana bahagian belakang Panamera hadir dengan strip LED yang melintangi penuh bahagian tersebut, sementara bahagian hadapan dilengkapi dengan kemasan SportDesign sebagai ciri standard.

Pendatang baharu dalam keluarga Porsche Panamera itu tadi menerima lampu hadapan signatur yang spesifik, serta sistem ekzos yang ditala semula bagi menghasilkan nada bunyi V8 yang lebih jelas.

Set rim pula boleh dipilih dalam saiz 20 atau 21 inci dalam pebagai jenis rekaan.

Mengakhiri perubahan di bahagian luar adalah dua warna baharu, Truffle Brown Metallic dan Cherry Red Metallic.

 


Memasuki ruang kabin, Porsche Panamera 2021 turut menampilkan roda stereng baharu dengan ciri paddle shifter, manakala model Turbo S pula hadir dengan roda stereng GT Sport.

Bergantung kepada varian yang ditawarkan, tempat duduk hadapan mampu diubah tetapannya dalam lapan, 14, atau 18 cara, manakala sistem audio Bang & Olufsen (1,455 watt) dengan 21 speaker dan subwoofer (400 watt) boleh dipilih bagi menggantikan sistem audio Bose standard 710 watt dengan 14 pembesar suara.

Di Amerika Syarikat, kesemua model Panamera 2021 datang dengan kelengkapan keselamatan standard seperti bantuan kekal laluan, dan bantuan papan tanda trafik, manakala ciri lain seperti paparan head-up, bantuan penukaran laluan, kawalan pelayaran adaptif dan sistem pandangan malam boleh didapati sebagai opsyen.