Porsche Nombor 57 pulang ke pangkuan

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pada 5 Ogos, 2014, Pengurus Koleksi Kereta Klasik untuk Muzium Porsche, Alexander Klein menerima satu panggilan telefon dari stesen TV Jerman, RTL2 bertanyakan adakah Alexander berminat tentang dua buah Porsche 911 lama yang ditemui oleh stesen TV itu di sebuah ladang di Brandenburg, Jerman Timur.

Pada mulanya, Alexander cuma mendengar dengan bersahaja kerana Porsche 911 yang lama sudah ada di dalam koleksi Porsche.

Namun begitu jantungnya berhenti berdegup apabila wanita dari stesen TV itu menyebut nombor chasis salah satu kenderaan usang itu - 300 057.

 

chasis number 57

 

Jika benar, itu adalah antara Porsche 911 yang pertama dibina dalam tahun 1964 dan ia masih dikenali dengan nama lamanya, 901.

Perbincangan pembayaran terus dilakukan oleh stesen TV tersebut tetapi Alexander lebih bijak - tiada pembayaran selagi kenderaan tidak diperiksa oleh pihak Muzium.

Sebelas hari kemudian, dua pakar dari Muzium Porsche turun ke ladang tersebut.

Porsche pertama yang dilihat mereka ialah model 911 tahun 1968 berwarna emas dalam keadaan yang terlalu daif untuk diperbaiki.

 

 

Kemudian di belakang sebuah bangsal, mereka terlihat bangkai Porsche yang kedua. Dilitupi dengan debu tebal, Porsche 911 warna merah itu sudah hilang kedua fender hadapan dan kebanyakan panel sudah dimakan karat.

Bahagian dalam sudah reput, kecuali panel meter. Enjin dan brek sudah kejung, langsung tidak boleh bergerak tetapi satu perkara yang masih boleh dilihat dengan mata kasar - nombor casis Porsche buruk itu - 300 057.

Porsche 901 nombor 57 telah ditemui dan bakal melengkapkan koleksi klasik Muzium Porsche yang memang ketandusan model sulung 901/911 itu.

 

 

Kedua-dua Porsche itu dibawa balik ke muzium untuk dinilaikan dan Porsche bersetuju untuk membayar EUR 14,500 (RM68,600) untuk Porsche 911 tahun 1968 berwarna emas itu agar disimpan di muzium sebagai bahan sejarah (tidak dibasuh pun!).

Untuk model Porsche 901 nombor 57, pihak muzium membayar EUR 107,000 (RM506,000) dan ia akan dibaikpulih.

Walaupun banyak komponen pada Nombor 57 itu sudah hancur (enjin dan transmisi bukan asal, gandar sudah reput, bamper dan pendakap hilang terus dan pelbagai lagi sudah tidak boleh digunakan), Ketua Bengkel Muzium Porsche, Kuno Werder berkata masih ada lagi kelengkapan unik pada Nombor 57 ini yang boleh diselamatkan.

 

 

"Sarung kulit pada tuil gear ini hanya dipasang khusus semasa era 901 dan ia kekal ada," ujarnya.

Ada juga beberapa komponen yang membingungkan pakar-pakar muzium itu dan hanya selepas kajian dilakukan, jawapannya ditemui.

"Kami temui sepasang besi paip segi empat di bawah tempat duduk dan setelah puas dikaji, ia merupakan alat standard dari kilang untuk meninggikan tempat duduk itu!" ujar Kuno.

Satu lagi insiden menarik ialah tempat duduk untuk Porsche 901 sebenarnya mempunyai enam batang besi di dalamnya.

 

 

Kotak-kotak alatganti yang datang dengan Nombor 57 hanya menemukan sepasang tempat duduk dengan lima batang besi - bukan milik Porsche 901.

Setelah disiasat, Porsche 1968 yang ditemui sekali dengan Nombor 57 itu telah dipasang dengan tempat duduk untuk Porsche 901. 

Proses baik-pulih Porsche Nombor 57 ini memakan masa lebih dari dua tahun.

Kerangka Nombor 57 ditogelkan dan didapati kerangkanya tidak pernah diusik - ia tidak pernah kemek atau mengalami kemalangan dan lebih dari 50 peratus badannya masih boleh digunakan.

 

 

Ada juga antara kelengkapan Nombor 57 ini perlu dibuat balik. Tempat abu rokok (ashtray) model ini dibuat dari besi dan Muzium Porsche membuat satu yang baharu, menggunakan tukang besi-tukang besi.

Enjin 6-silinder itu berjaya dipulihkan selepas 120 jam bekerja. Alatganti untuk enjin itu juga terpaksa dicari dan ada yang dibuat kerana sudah tidak ada di dalam stok.

Akhirnya pada pertengahan tahun 2017, Porsche 901 Nombor 57 selesai dibaik-pulih dan ia kini dipamerkan di Muzium Porsche.

 

 

Sekali-sekala, Nombor 57 dipandu untuk acara-acara Porsche.

Menarik sekali bila syarikat kenderaan itu benar-benar mahu menyimpan artifak lama mereka agar boleh dihayati oleh generasi-generasi sekarang.

Mungkin itu yang membezakan mereka dari jenama-jenama lain - nilai sejarah yang tidak boleh dibeli.

 

number 57 meter



* Cerita ini diolahkan kembali dari versi asal yang diterbitkan oleh majalah rasmi Porsche, Christophorus.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Lokasi itu terletak di dalam kawasan ladang sawit berhampiran dengan sebuah kampung yang terletak…
Berita Global
Secara teknikal, Taycan Turbo GT menghasilkan 777 HP dan 1,339 Nm, namun ia boleh dipertingkatkan…
Berita Global
Namun tahukah anda, menjelang tahun akhir produksi model tersebut, Porsche membuat keputusan untuk…