Porsche Macan T 2023 - SUV Touring pertama Porsche

oleh Mohamad Hanif|
Porsche kini membawakan model SUV pertama dengan designasi T yang sebelum ini dikhususkan untuk model 911 dan 718, iaitu Porsche Macan T 2023.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

'T' di sini membawa maksud Touring di mana ia kini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih tulen terima kasih kepada talaan yang jitu, kelengkapan eksklusif dan enjin yang lebih efisien.

Dari segi kuasa, Macan T mengekalkan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 265 PS dan daya kilas 400 Nm yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar PDK tujuh nisbah kelajuan, serta sistem pacuan semua roda Porsche Traction Management (PTM).
 

Macan T


Sistem PTM itu tadi turut ditala semula supaya ia lebih bias kepada gandar belakang.

Dengan kelengkapan Sport Chrono Package serta butang Sport Response yang terdapat pada stereng secara standard, Macan T mampu memecut dari sifar ke 100 kmsj dalam masa 6.2 saat dan kelajuan tertinggi 232 km/j.

Uniknya, Macan T merupakan satu-satunya model Porsche yang menampilkan suspensi keluli dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) sebagai ciri standard, dengan jarak kelegaan tanah direndahkan sebanyak 15 mm.

Selain itu, Macan T juga turut dipasangkan dengan bar anti-oleng pada gandar hadapan yang menyumbang kepada stereng yang lebih responsif serta pengendalian yang lebih lincah.
 

Macan


Pembeli Macan T boleh mendapatkan opsyen pemasangan suspensi udara adaptif dengan badan direndahkan lagi sebanyak 10 mm, selain ciri Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) untuk menambah karakteristik dinamik pengendalian yang lebih tajam.

Terdapat 13 warna serta warna khas ditawarkan namun Porsche mendatangkan warna Agate Grey Metallic pada bahagian bilah sisi, perumah cermin sisi, spoiler bumbung, serta logo di bahagian belakang.

Tip ekzos sports dan trim tingkap sisi turut didatangkan dalam warna hitam berkilat, sementara roda kemasan dark titanium 20 inci datang sebagai ciri standard.
 

Macan T


Untuk ruang kabin, Porsche Macan T didatangkan dengan tempat duduk sports beserta ciri larasan lapan cara dan ciri pemanas terbina, upholsteri kulit hitam dengan corak Sport-Tex Stripe, serta jahitan kontras perak pada tempat duduk, perehat kepala dan roda stereng GT.

Pembeli juga boleh mendapatkan opsyen roda stereng sports GT yang dibaluti bahan Race-Tex dan trim karbon, serta pemasangan ioniser untuk ruang kabin.

Sebagai makluman, Porsche Macan T diposisikan antara model aras mula Macan dengan model yang lebih mahal Macan S.