Porsche Macan 2022 dilancarkan - kuasa setinggi 440 PS, 0-100 4.3 saat

oleh Mohamad Hanif|
Semenjak diperkenalkan pada tahun 2014, Porsche sudah pun mendatangkan beberapa kemaskini terhadap SUV mewah Macan, dan kemaskini terbaharu yang dibawakan ini lebih tertumpu kepada peningkatan kuasa bagi semua varian.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Versi yang paling berkuasa merupakan Macan GTS di mana enjin 2.9 liter bentangan V6 bi-turbo itu kini berupaya menghasilkan 440 PS (peningkatan sebanyak 60 PS) dan dengan pakej Sport Chrono, Macan GTS mampu memecut sepantas 4.3 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 272 km/j.

 


Selain daripada itu, Porsche Macan S juga turut dilengkapi dengan enjin serupa, namun dengan talaan output 380 PS, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 259 km/j.

Bagi mereka yang mahukan kesederhanaan, Porsche Macan varian asasa kini didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang menghasilkan 265 PS, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 6.2 saat serta kelajuan tertinggi 232 km/j.

Secara standard, Porsche Macan dipadankan dengan transmisi klac berkembar (PDK) serta  sistem pacuan semua roda Porsche Traction Management (PTM).

 


Selain daripada enjin, Porsche Macan juga kini ditawarkan dengan sistem suspensi PASM yang lebih seimbang untuk keselesaan pemanduan, serta dinamik pengendalian yang lebih sporti, diikuti dengan casis dan maklum balas stereng yang telah dioptimasikan untuk kondisi pemanduan yang berbeza.

Sistem PASM itu ditawarkan secara standard untuk varian S dan GTS, sementara pembeli varian aras mula Macan boleh mendapatkannya sebagai satu pilihan.

 


Sementara varian Macan GTS pula dibezakan dengan sistem suspensi udara sport yang lebih rendah 10 mm yang menawarkan tahap ketegaran 10 peratus pada gandar hadapan dan 15 peratus lebih keras pada gandar belakang, diikuti dengan rim GT bersaiz 21 inci dengan tayar prestasi, ciri Porsche Torque Vectoring Plus (PTV) dan pakej Sport Chrono.

Rekaan luaran Porsche Macan menampilkan beberapa perubahan yang minimum, seperti rekaan liang kemasukan udara yang diintegrasikan kemas dan lebih seimbang, diikuti bahagian sisi yang menampilkan sirip sisi yang lebih ketara bentuknya (seakan 3D).

Secara standard, kesemua varian Macan didatangkan dengan unit lampu LED dengan ciri Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan rekaan cermin sisi Sport Design.

 


Ruang kabin juga tidak menampilkan sebarang perubahan yang ketara selain daripada skrin sesentuh bersaiz 10.9 inci, jam analog di bahagian tengah, melainkan beberapa ciri seperti konsol tengah yang direka semula bagi menawarkan sokongan sentuhan haptik, ruang storan yang lebih besar, dan roda stereng baharu yang diambil daripada model 911.

Harga jualan di Jerman bermula dari 62,917 euro (RM313,812) untuk varian asas Macan, sehinggalah 88,264 euro (RM439,352) untuk Macan GTS.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Model Macan tersebut merupakan model generasi baharu yang dikuasakan dengan rangkaian kuasa…
Berita Global
Daripada jumlah tersebut, 36,574 unit telah diserahkan kepada pelanggan di Eropah, dengan kenaikan…
Model Terbaharu
Menurut naib presiden komersial Lotus, Mike Johnstone, Lotus Type 134 dijangka akan menyumbang…