Porsche lancar Taycan aras mula, RWD, bermula dari RM323k di US

oleh Mohamad Hanif|
Seperti yang kami jangkakan, Porsche telah pun selesai melancarkan varian aras mula bagi keluarga Taycan, seperti yang telah diperkenalkan di pasaran China tahun lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak seperti varian Porsche Taycan yang lain, Taycan aras mula ini hanya didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang sahaja, dengan angka output 402 hp dan 344 Nm daya kilas.

Dari segi prestasi, Taycan RWD ini mampu memecut sepantas 5.1 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 230 km/j.

 


Taycan RWD ini juga datang dengan pek bateri berkapasiti 79.2 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 431 km, dan boleh dipertingkatkan kepada 484 km dengan pakej opsyen Performance Battery Plus.

Pakej itu tadi meningkatkan kapasiti bateri kepada 93.4 kWh, serta menyahkunci kuasa kuda supaya motor elektrik itu mampu menghamburkan kuasa sehingga 469 hp dan 357 Nm.

Walaupun dengan pertambahan berat akibat pek bateri yang lebih besar (77.1 kg), Taycan RWD ini mampu menyelesaikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat sahaja!

 


Namun, selain daripada itu, Porsche Taycan aras mula ini membawakan teknologi yang sama terdapat pada Taycan yang lebih mahal, seperti contoh pengecasan pantas yang membolehkan anda mengecas bateri dari 5-80 peratus dalam masa 22.5 minit di bawah kondisi yang ideal.

Dari segi kelengkapan, Taycan asas ini didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci, angkup brek berwarna hitam, lampu LED, sistem infotainmen 10.9 inci, serta sistem pengurusan Porsche Active Suspension Management (PASM), manakala opsyen terdiri daripada suspensi udara, rim 20 dan 21 inci, serta brek salutan seramik.

Harga jualan untuk Porsche Taycan RWD ini bermula dari $79,900 (RM323,355) tidak termasuk kos penghantaran, pemprosesan dan dokumen yang diperlukan.

 


Ini menjadikan Taycan aras mula ini jauh lebih murah berbanding Taycan 4S (kurang $23,900), akan tetapi di pasaran US, Taycan RWD ini masih lagi jauh lebih mahal berbanding Tesla Model S Long Range ($69,420).

Untuk pengguna US, Taycan 2021 ini boleh ditempah dan lengkap dengan pakej pengecasan percuma selama tiga tahun oleh Electrify America.