Porsche Cayenne Turbo S E-Hybrid - Cayenne terulung di pasaran!

oleh Mohamad Hanif|
Bagi melengkapkan lagi penawaran SUV kepada para peminat mereka, Porsche telah memperkenalkan sebuah model bertaraf mercu baharu dengan pengenalan Porsche Cayenne Turbo S E-Hybrid.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Nama yang dipetik secara terus daripada Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid ini menampilkan trenkuasa hibrid dengan enjin 4.0 liter turbo berkembar V8 (dari Cayenne Turbo) serta motor elektrik 134 hp daripada Cayenne E-Hybrid. 

Secara keseluruhannya, Cayenne Turbo S E-Hybrid mampu menjana 670 hp dan daya kilas 900 Nm dengan daya pecutan sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 295 km/j.

 


Dalam trim Turbo S E-Hybrid ini, pengguna boleh mendapatkan dua bentuk badan yang berbeza, iaitu Cayenne standard dan juga Cayenne Coupe.

Antara peralatan standard yang dilengkapkan termasuklah sistem brek seramik karbon, bar anti-oleng aktif, sistem torque-vectoring di belakang, dan juga pakej Sport Chrono. 

Sistem pengecasan pula didatangkan standard dengan pengecas 7.2 kW yang mampu mencapai kapasiti penuh dalam masa 2.5 jam sahaja untuk memenuhi pek bateri 14.1 kWh pada sistem hibrid ini. 
 


Untuk mereka yang tidak mahukan kuasa yang berlebihan, Porsche Cayenne Coupe E-Hybrid adalah jawapan buat anda. 

Didatangkan sebagai alternatif kepada Cayenne E-Hybrid sedia ada, model Coupe ini juga hadir dengan enjin 3.0 liter V6 berkuasa 335 hp dengan gandingan motor elektrik 134 hp. 

Ia memberikan kuasa 455 hp secara keseluruhannya dan sama seperti model Turbo S E-Hybrid, model E-Hybrid ini mampu bergerak sejauh 40 km dalam mod emisi sifar sebelum kuasa dari enjin diaktifkan sepenuhnya. 
 


Namun, Cayenne Coupe E-Hybrid hanya hadir dengan sistem pengecasan 3.6 kW dan tiada peralatan prestasi seperti model Turbo S E-Hybrid. 

Dari segi harga, Porsche Cayenne Turbo S E-Hybrid bermula dari $161,900 (RM678,119) dengan tambahan sebanyak $2,500 (RM10,471) untuk model Coupe dalam trim yang sama. 

Manakala model yang lebih murah Porsche Cayenne Coupe E-Hybrid pula dijual pada harga $86,400 (RM361,887).

 


Ketiga-tiga model SUV Porsche ini hanya akan terdapat di pengedar bermula tahun 2020.