Porsche Cayenne Turbo E-Hybrid 2024 - SUV pantas PHEV, 729 hp, 949 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Para peminat SUV pantas daripada jenama Porsche kini boleh menantikan kehadiran model Cayenne Turbo E-Hybrid 2024 yang lebih berkuasa di pasaran masing-masing.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk penawaran terbaharu ini, Porsche telah menggugurkan huruf 'S' bagi meringkaskan lagi nama yang masih panjang itu, dan lebih penting ia dibekalkan dengan trenkuasa yang lebih bertenaga.
 

Cayenne


Tidak seperti Cayenne Turbo S E-Hybrid 2023 yang mampu menjana 670 hp, Cayenne Turbo E-Hybrid 2024 mendapat peningkatan kuasa hampir 10 peratus.

Terima kasih kepada enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar (591 hp) yang kini dipadankan dengan motor elektrik 174 hp dan pek bateri 25.9 kWh, Cayenne Turbo E-Hybrid 2024 kini berupaya menghamburkan kuasa setinggi 729 hp dan 950 Nm!
 

Cayenne


Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 3.5 saat dengan kelajuan tertinggi 295 km/j, menjadikan SUV ini model Cayenne yang paling berkuasa pernah dihasilkan.

Bukan itu sahaja, jarak gerak sifar emisi SUV ini juga telah bertambah kepada 82 km untuk sekali cas penuh.
 

Cayenne


Peningkatan kuasa itu tadi ditampung dengan sistem suspensi udara yang mampu menawarkan keseimbangan antara keselesaan di atas lebuh raya, serta prestasi yang mencengkam di dalam litar.

Porsche juga turut menawarkan ciri Torque Vectoring Plus sebagai ciri standard, serta opsyen untuk menambah fungsi stereng gandar belakang dan ciri Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC).
 

Cayenne


Dari segi luaran, Porsche Cayenne Turbo E-Hybrid dipadankan dengan muka hadapan yang spesifik untuk model Turbo, termasuklah rekaan bampar dengan bukaan udara yang besar, sirip udara kemasan hitam berkilat, plastik arka roda mengikut warna badan, angkup brek berwarna merah serta tip ekzos daripada bahan aluminium yang diberus.

Sementara varian Coupe pula mendapat kemasan plastik arka roda berwarna hitam.
 

Cayenne


Tema sporti turut diterapkan pada ruang kabin, di mana Cayenne Turbo E-Hybrid menawarkan roda stereng GT Sport, butang mod pemanduan khas, trim aluminium, serta  alas bumbung Race-Tex.

Pembeli juga boleh mendapatkan tempat duduk Sports balutan kulit dengan larasan 18 tahap, atau pilihan kerusi Comfort dengan 14 tahap pelarasan.
 

Cayenne


Selain daripada ciri yang disebutkan tadi, Porsche Cayenne Turbo E-Hybrid kini mendapat skrin kluster digital melengkung, konsol tengah yang telah direka semula, serta opsyen untuk menambah skrin tambahan di sebelah penumpang.

Tidak ketinggalan, ciri inovatif lampu utama HD-Matrix LED yang standard untuk model Turbo E-Hybrid yang mampu menawarkan pemanduan yang lebih menyenangkan terutama ketika menempuh laluan yang gelap.