Kabin Dikuasai Skrin
Cayenne Electric hadir dengan paparan digital terbesar pernah ditawarkan Porsche. Kluster instrumen digital bersaiz 14.25 inci digandingkan dengan skrin penumpang pilihan 14.9 inci. Di tengah pula terdapat “Flow Display” berupa OLED melengkung 12.25 inci yang menurun ke konsol tengah. Hampir semua kawalan pendingin hawa dipindahkan ke skrin ini, meninggalkan hanya sedikit suis fizikal.

Menariknya, Porsche menggabungkan paparan tengah ini menjadi satu unit besar, berbeza dengan pendekatan Taycan yang menggunakan skrin berasingan. Rekabentuknya mengingatkan sebuah telefon lipat gergasi. Untuk keselesaan penggunaan, terdapat ‘hand rest’ bagi memudahkan interaksi dengan skrin dan suis bersebelahan. Bagi memberi ruang kepada unit paparan tersebut, liang udara tengah dialihkan ke atas papan pemuka.

Selain skrin, versi lebih tinggi Cayenne Electric juga menawarkan armrest depan dan belakang berfungsi pemanas, serta penutup konsol tengah yang dipanaskan. Porsche turut memperkenalkan bumbung kaca panoramik terbesar pernah mereka hasilkan, dibahagi kepada sembilan segmen yang boleh bertukar daripada lut sinar kepada legap dengan hanya satu sentuhan. Tidak seperti kebanyakan bumbung kaca EV lain, ia masih boleh dibuka seperti sunroof konvensional.
Prestasi Mengejutkan untuk SUV Besar
Di sebalik tubuh besar, Cayenne Electric menjanjikan prestasi yang boleh mencabar supercar. Versi tertinggi dengan launch control menghasilkan lebih 1,073 hp dan 1,500 Nm tork. Angka itu membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam kurang tiga saat, 0-200 km/j dalam bawah lapan saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 250 km/j.

Kuasa ini datang daripada pek bateri lithium-ion 113 kWh dengan ketumpatan tenaga tujuh peratus lebih tinggi berbanding Taycan. Jarak perjalanan pula melebihi 600 km (kitaran WLTP). Keupayaan pengecasan 400 kW membolehkan 10-80% dicapai hanya dalam 15 minit. Sebagai tambahan, Porsche bakal memperkenalkan pad pengecasan tanpa wayar 11 kW di Eropah bermula 2026.
Teknologi Casis dan Kawalan
Secara standard, Cayenne Electric dilengkapi suspensi udara. Pilihan tambahan termasuk stereng roda belakang yang mampu mengurangkan jejari pusingan kepada sekitar 11.1 meter. Untuk varian paling berkuasa, Porsche menawarkan brek seramik eksklusif dengan cakera 440 mm di depan dan 410 mm di belakang. SUV ini juga menerima differential lock kawalan elektronik di gandar belakang, serta sistem Active Ride seperti pada Panamera dan Taycan untuk keselesaan dan kestabilan optimum.

Strategi Porsche: EV dan ICE Bergerak Seiring
Walaupun fokus kepada Cayenne Electric jelas, Porsche menegaskan enjin pembakaran dalaman tidak akan dikuburkan dalam masa terdekat. Cayenne ICE akan terus dijual sehingga dekad akan datang. Malah strategi ini sejajar dengan model lain, di mana Macan EV akan wujud bersama crossover enjin petrol baharu menjelang 2028, manakala SUV tiga baris yang asalnya dirancang EV sahaja akan hadir terlebih dahulu dalam versi ICE sebelum varian elektriknya dilancarkan.

Porsche sedang menyusun langkah yang realistik menawarkan masa depan elektrik tanpa meminggirkan pelanggan setia enjin petrol. Cayenne Electric adalah bukti bagaimana jenama ini menyeimbangkan teknologi canggih dengan prestasi ekstrem dalam satu pakej SUV mewah.
Sumber: Porsche