Porsche buka fasiliti Charging Lounge pertama di Jerman, pengecasan DC 300 kW

oleh Mohamad Hanif|
Porsche dilapor akan membangun dan meluaskan jaringan stesen pengecasan pantas tersendiri di benua Eropah bermula tahun 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk permulaan, pengeluar dari Zuffenhausen itu secara rasmi membuka fasiliti pengecasan Porsche Charging Lounge bertempat di Bingen am Rhein, Jerman.

Terletak kira-kira dua minit daripada persimpangan jalan A60/A61, fasiliti ini menyediakan enam poin pengecasan pantas DC 300 kW, dan empat poin pengecasan AC 22 kW.

Bermula tahun depan, Porsche dijangka akan menawarkan pengecasan berkeupayaan 400 kW.
 

porsche


Fasiliti mewah tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang moden, termasuklah makanan dan minuman, sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi serta pelbagai pilihan media fizikal dan digital untuk kegunaan anda sewaktu beristirehat.

Ia juga dilengkapi dengan panel solar photovoltaic pada bahagian bumbung, bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik fosil.

Untuk penjimatan tenaga, bangunan tersebut akan memalapkan nyalaan lampu dalaman sekiranya tiada seorang pengunjung berada di bahagian tersebut.
 

porsche


Lebih menarik, fasiliti ini juga bakal diintegrasikan ke dalam perkhidmatan Porsche Charging Service dan dipaparkan di dalam sistem navigasi.

Kos pengecasan yang perlu dibayar adalah serendah 0.33 euro untuk setiap kWh (RM1.64/kWh).

Porsche Charging Lounge ini akan menggunakan sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik, di mana palang akan dibuka sekiranya sistem mengesan nombor pendaftaran yang disimpan pada Porsche ID pemilik.
 

porsche


Sebagai info, perkhidmatan Porsche Charging Services menyediakan akses kepada lebih 436,000 poin pengecasan di lebih 20 buah negara di Eropah, termasuklah 25,400 pengecas DC dengan keupayaan melebihi 150 kW dan lebih 500 pengecasan pantas di dalam jaringan IONITY.