Porsche Bangunkan Gearbox ‘Dual Feel’ – Manual dan Auto Dalam Satu Tuil

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Porsche dilaporkan sedang membangunkan satu sistem transmisi baharu yang berpotensi menggabungkan pengalaman pemanduan manual dan automatik dalam satu pakej.

Teknologi tersebut didedahkan melalui paten yang difailkan pada Ogos 2024 dengan German Patent and Trademark Office, sebelum diterbitkan kepada umum pada awal Mac lalu.

Melalui paten tersebut, Porsche memperincikan satu sistem shift-by-wire yang membolehkan tuil gear berfungsi seperti transmisi automatik konvensional, di mana pemandu hanya perlu menolak tuil ke hadapan atau ke belakang untuk memilih mod pemanduan seperti Drive, Neutral dan Reverse. 

Namun, keunikan sebenar sistem itu terletak pada keupayaannya untuk bertukar kepada mod manual dengan corak H-pattern, seolah-olah menggunakan kotak gear manual tradisional.

Dalam mod itu, pemandu boleh menggerakkan tuil ke kiri dan kanan serta ke hadapan dan belakang untuk memilih gear secara individu, memberikan sensasi pemanduan yang lebih interaktif. 

Pergerakan tuil tersebut akan dikesan oleh sensor elektronik, manakala sistem spring dan motor elektrik akan mensimulasikan rasa pertukaran gear seperti kotak gear manual sebenar.

2

Pendekatan itu membolehkan Porsche menawarkan pengalaman “manual” tanpa bergantung kepada transmisi manual fizikal. 

Sistem tersebut berpotensi digunakan bersama pelbagai jenis transmisi sedia ada, termasuk automatik konvensional berpenukar tork atau transmisi dwi-klac (DCT).

Konsep sama mengingatkan kita kepada pendekatan inovatif oleh Koenigsegg melalui sistem Light Speed Transmission, yang turut menekankan pengalaman pemanduan berprestasi tinggi dengan teknologi transmisi canggih. 

Seperti kebiasaan dalam industri automotif, tidak semua paten akan diterjemahkan kepada model produksi, kebanyakan pengeluar memfailkan pelbagai idea inovatif yang akhirnya tidak sampai ke pasaran.

Jika direalisasikan, sistem tersebut berpotensi menjadi satu inovasi menarik—terutama dalam era elektrifikasi dan automasi—dengan memberikan kembali elemen keseronokan pemanduan manual kepada generasi baharu, tanpa mengorbankan kemudahan transmisi automatik.

 

Sumber: Carbuzz

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam perkembangan terbaru, model ikonik Porsche 911 GT3 generasi akan datang dilaporkan berpotensi…
Berita Global
Langkah tersebut menandakan perubahan besar dalam strategi Porsche, kurang lima tahun selepas…
Berita Global
Langkah tersebut mencerminkan pendekatan lebih realistik Porsche terhadap pasaran semasa,…