Porsche 914 Fifteen Eleven Design, projek restomod bahagian klasik Mellors Elliot Motorsport

oleh Muhammad Md Tajudin|
Porsche 914 Fifteen Eleven Design
Porsche 914 Fifteen Eleven Design
Model klasik Porsche menjadi trend untuk dibaik pulih dan diubah suai di Eropah.

Careta sering memaparkan projek tersebut dan kali ini lebih menarik kerana melibatkan sebuah Porsche 914 yang mempunyai reka bentuk unik.

Satu lagi yang menarik, projek restomod ini dilakukan Fifteen Eleven Design, bahagian klasik Mellors Elliot Motorsport (MEM).

MEM adalah syarikat yang terlibat di dalam projek kereta rali Proton Satria Neo S2000 dan Iriz R5. 
AION MREC Banner Campaign May 2024
Porsche 914 Fifteen Eleven Design

 

Kereta dengan reka bentuk unik ini adalah hasil kerjasama di antara Volkswagen dan Porsche dan dikeluarkan dari 1969 hingga 1976.

914 digerakkan enjin flat four (1.7, 1.8, 2.0 liter) dan flat six (2.0 liter). Berat kereta dari 940 kilogram (kg) hingga 985 kg bergantung kepada model.

Model paling berkuasa ialah 914/6 Targa dengan enjin 2.0 liter enam silinder yang menghasilkan 109 kuasa kuda (hp) dan tork 160Nm.

Pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) mengambil masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 207 km/j.

 

Porsche 914 Fifteen Eleven Design

 

Berbalik 914 Fifteen Eleven Design, projek ini sebenarnya telah diumumkan pada 2021 dan kini tempahan dibuka untuk pelanggan yang beminat.

Kereta ini dikahwinkan dengan enjin Cayman S 987 generasi kedua. Enjin 3.8 liter telah diubah suai dan menawarkan kuasa dari 380 hingga 400 bhp.

Di antara ubah suai yang dibuat ialah penggunaan bahan dalam dari keluli, omboh tempa (forged), Unit Kawalan Elektronik (ECU) dan sistem pengurusan kausa dari Life Racing.

Enjin yang kini lebih berkuasa dipadan dengan transmisi manual enam kelajuan.

 

Porsche 914 Fifteen Eleven Design

 

Suspensi asal diganti dengan set tiga lasaran dari Reiger yang tidak asing di dalam perlumbaan rali. 

Daya pembrekan dilaksana oleh angkup brek empat omboh Porsche Brembo dengan cakera berliang dan bergaris. Kaki pemandu menekal pedal AP Racing.

Lagi komponen menarik ialah tangki bahan api mengikut spesifikasi FIA dan sebagai tanda dunia rali yang sinonim dengan MEM.

Ciri lain pada kereta ini seperti pendikit fly-by-wire, ekzos keluli tahan karat buatan khas, rim Fuchs 18 inci dan tayar Michelin Sport Pilot Sport 2.

 

Porsche 914 Fifteen Eleven Design

 

Casis 914 kekal dengan ciri sama namun diubah suai Fifteen Eleven Design.

Sudut suspensi direka semula bagi menyesuaikan perkakasan Cayman dan keseluruhan kerangka diperkukuh termasuk penggunaan besi T45.

Walaupun mengekalkan rekaan asal 914, beberapa bahagian telah diubah suai terutama sekali muka depan.

Lampu utama jenis buka keluar (pop-up) diganti lampu LED pada bampar. Panel badan dilebarkan dan dibuat dari gentian karbon.

 

Porsche 914 Fifteen Eleven Design

 

Bonet dan bampar direka semula untuk membantu penyejukan pada radiator. Bahagian belakang dipasang spoiler jenis ekor itik.

Pada bahagian dalam dan satu yang menarik ialah dinding pemisah diubah suai untuk mendapatkan ruang kaki tambahan dan tempat duduk asal diganti kerusi Recaro.

Setiap tempahan dibuat berdasarkan permintaan pelanggan dan menariknya pilihan pemanduan kanan atau kiri. 

Ternyata ini bukan projek biasa dan menunjukkan kebolehan Fifteen Eleven Design. Harga bermula daripada 350,000 pound (RM2,055,599)!

Penulis: Muhammad Md Tajudin