Porsche 911 Turbo 3.6 untuk dijual - dari €275,000 (RM1.36 juta) sahaja!

oleh Mohamad Hanif|
Bagi mereka yang gemar melayan siri animasi perlumbaan di lebuh raya Wangan Midnight pasti akan meminati kelibat jentera Blackbird atau lebih tepat lagi Porsche 911 Turbo 3.6 (generasi 964) bersaing dengan Nissan Fairlady Z S30Z.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika diimbas kembali sejarah, varian 964 Turbo pertama kali diperkenalkan pada Mac 1990 menampilkan enjin flat-six turbo 3.3 liter, sebelum memperkenalkan varian enjin yang lebih besar 3.6 liter pada tahun 1993.

Varian Turbo 3.6 ini dikatakan mampu menghasilkan 355 kuasa kuda (@5,500 rpm) dan 520 Nm (@4,200 rpm) dan sebanyak 1,500 unit sahaja dihasilkan pada ketika itu.

 


Salah sebuah daripada model tersebut merupakan jentera yang dipaparkan pada artikel kali ini, di mana menurut Auto Leitner "banyak menghabiskan masanya di negara Jerman."

Porsche 911 Turbo 3.6 ini menerima layangan warna hitam Lacquer, menggunakan set rim bersaiz 18 inci dan menerima set ekzos sport.

Malah, pemilik asal turut menjaganya dengan cermat di mana sejarah servis kenderaan ini didokumentasikan dengan cukup baik, serta lengkap dengan sijil pemeriksaan TUV dan sijil pendaftaran Jerman.

Jarak perbatuannya juga agak rendah, sekitar 39,715 km sahaja untuk sebuah model tahun 1993.

 


Selain rupa luaran yang masih lagi cantik dipandang, kondisi ruang kabinnya juga cukup menyenangkan tanpa sebarang tanda-tanda penuaan pada bahan kulit hitam.

Antara ciri menarik yang ada pada jentera ini termasuklah tempat duduk hadapan dengan pemanan terbina, amplifier, sistem penggera kecemasan, sistem pendingin hawa, bumbung suria berkuasa elektrik dan stereo Becker.

Untuk sebuah Porsche 911 Turbo 3.6 yang dihasilkan dalam unit terhad, dan terjaga dengan rapi, Auto Leitner hanya meminta wang pengeras berjumlah €275,000 (RM1.36 juta), khusus untuk mereka yang berminat.

Mahal? Baik beli....

 


Sumber: Auto Leitner