Model baharu ini dibangunkan berdasarkan 911 Targa generasi terkini (992) yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi moden pada casis, sistem bantuan pemanduan serta sistem infotainmen terkini.
Dari segi kuasa, 911 Targa 4S khas ini didatangkan dengan enjin boxer turbo berkembar yang berupaya menghasilkan 450 PS yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan.
Dengan fungsi Launch Control, pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa kurang 3.6 saat, sementara kelajuan tertinggi pula mampu mencapai 304 km/j.

Bahagian luaran 911 Targa 4S Heritage Design Edition ini membawakan grafik sukan permotoran "Spears" di mana grafik lembing ini digunakan suatu ketika dahulu bagi menyembunyikan kesan pelanggaran sewaktu perlumbaan, sebelum ia digunakan sebagai lambang pertempuran.
Ia juga merupakan salah satu daripada rekaan terawal yang boleh dipilih untuk dilayangkan pada kenderaan pelanggan.
Rekaan grafik sukan permotoran juga boleh diaplikasikan pada bahagian sisi model khas ini, dengan pilihan nombor bermula dari 0-99 bergantung kepada permintaan.

Selain daripada warna eksklusif Cherry Metallic, pembeli juga boleh mendapatkan warna lain seperti Black, Guards Red, GT Silver Metallic, serta warna khas Crayon. Porsche juga boleh menawarkan apa jua warna berdasarkan permintaan pelanggan.
Di bahagian belakang, Porsche mendatangkan kemasan berwarna emas pada perkataan Porsche, diikuti dengan perkataan targa pada bahagian bar Targa.
Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition boleh dilengkapkan dengan rim 911 Carrera Exclusive Design (kemasan hitam berkilat, atau Platinum satin gloss) bersaiz 20 atau 21 inci, diikuti angkup brek berwarna hitam dengan penampilan yang klasik.

Memasuki ruang kabin, anda akan 'disapa' dengan panel aluminium yang diberus dengan perkataan '911 Targa 4S Heritage Design Edition' pada bendul pintu, kemasan emas pada plak nombor bersiri, upholsteri dua tona kulit Bordeaux Red, kemasan kulit Atacama Beige OLEA, fabrik Corduroy pada bahagian tengah tempat duduk dan panel pintu, dan dikemaskan dengan Alcantara berliang berwarna Atacame Beige pada headliner, serta tiang A dan B.
Antara ciri moden yang dimuatkan termasuklah dua skrin beresolusi tinggi bersaiz tujuh inci, takometer analog dengan jarum klasik dan fon yang boleh bertukar warna kepada hijau tatkala enjin dihidupkan, serta jam analog pakej Sport Chrono.

Buat para pemilik 911 sedia ada, Porsche juga turut ada menawarkan pakej Pure Heritage Design yang merangkumi perkara berikut:
- Upholsteri kulit dua tona
- Kemasan corduroy pada bahagian tengah tempat duduk dan panel pintu
- Kluster instrument Heritage Design
- Jam Sport Chrono Heritage Design
- Lambang bersejarah Porsche pada penghadang kepala
- Kemasan logo Porsche Exclusive Manufaktur pada penutup ruang simpanan
- Tali pinggang keledar Atacama Beige
- Logo 911 berwarna perak
- plet aluminium dengan logo 911 pada bendul pintu
Harga jualan untuk Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition bermula dari RM1,677,409 termasuk pengecualian SST.
Baca: Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition 2021
Sebagai makluman, Porsche Centre Johor Bahru yang akan dibuka pada akhir tahun ini akan bertindak sebagai pusat Classic Partner Centre yang pertama di Malaysia bagi membolehkan para pemilik dan peminat Porsche melakukan proses restorasi Porsche klasik mereka di fasiliti terbaharu ini.