
Porsche turut memperkenalkan 911 Carrera dengan enjin 3.0 liter boxer turbo berkembar yang diubah suai dan beberapa naik taraf lain.
Untuk Carrera GTS, para jurutera Porsche menggunakan pengetahuan dari dunia perlumbaan sebagai asas dalam merekabentuk sistem hibrid.
Mereka banyak membangunkan dan menguji pelbagai jenis idea dan pendekatan sebelum menemui resepi yang sesuai untuk 911 dengan sempurna.
Bukan senang, 911 generasi 992 dikeluarkan sejak 2019 dan penggunaan sistem hibrid seperti model lain memerlukan kerja yang lebih rumit. Perkakasan hibrid tidak ringan!

Ciri-ciri sistem T-Hybrid Porsche:
- Pengecas turbo gas ekzos elektrik baharu dengan motor eletrik ditempatkan di antara pemampat dan roda turbin
- Bentangan itu membolehkan tekanan dijana serta-merta
- Motor elektrik di dalam pengecas turbo turut berfungsi sebagai penjana dengan kuasa elektrik sehingga 11 kW (15 ps). Tenaga diesktrak dari aliran gas ekzos
- Tidak mengggunakan pintu lepasan (wastegate) dan hanya satu pengecas turbo berbanding dua sebelum ini
- Motor segerak magnet kekal disepadukan di dalam kotak gear cekam berkembar (PDK) lapan kelajuan baharu dan lebih berkuasa
- Motor itu membekalkan daya kilas tambahan sehingga 150Nm walaupun dalam kelajuan malar dan lonjakan kuasa sehingga 40 kW (54 ps)
- Kedua-dua motor elektrik dibekalkan bateri dengan tenaga 1.9 kWj (kasar) dan 400V
- Bateri litium-ion ringan menggantikan bateri 12V sebelum ini
- Enjin 3.6 liter boxer menghasilkan 485 ps dan tork 570Nm
- Ukuran gerek dan lejang dibesarkan kepada 97 mm dan 81 mm untuk penambahan 0.6 liter daripada enjin sebelum ini
- Dilengkapi kawalan aci sesondol VarioCam dan kawalan injap dengan lengan jumpelang (rocker arms).
- Keseluruhan sistem mempunyai kuasa 541 ps dan tork 610Nm atau peningkatan 61 ps dan 40Nm
- Sistem voltan tinggi membolehkan pemampat penghawa dingin digerakkan secara elektrik dan tidak memerlukan tali pacu dan enjin lebih kompak
- Ruang tambahan digunakan untuk pulse inverter dan pengubah DC-DC
- Penambahan berat hanya 50 kg berbanding model sebelum ini
Selain sistem hibrid baharu, Porsche turut memberi perhatian kepada ampaian Carrera GTS.

Buat kali pertama, belokan gandar belakang dijadikan ciri asas dan meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi dan mengurangkan bulatan pusingan.
Sistem antigoleng Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) disepadukan ke dalam sistem voltan tinggi untuk penggunaan sistem kawalan elektro-hidraulik.
Rekaan tersebut membolehkan sistem menjadi lebih anjal dan jitu.
Ampaian sport dengan sistem redaman berubah (PASM) dan badan yang direndahkan sebanyak 10 milimeter (mm) membentuk karakter pengendalian GTS.

Sebagai model yang dipertingkatkan, Porsche turut membuat perubahan pada bahagian luar dan kebanyakannya untuk aerodinamik dan prestasi.
Di antara perubahan bampar baharu mengikut model. Buat kali pertama kesemua nyalaan disatukan ke dalam lampu besar LED matrix yang kini dijadikan ciri asas 911.
Rekaan tersebut membolehkan ruang yang ditinggalkan diguna untuk liang penyejukan udara lebih besar di depan kereta.
Untuk Carrera GTS, bahagian depan menonjol dengan lima kepak menegak jenis aktif yang jelas boleh dilihat dan menariknya ada yang tersorok pada bahagian sisi.

Sekali lagi buat kali pertama untuk 911, Porsche memasang peresap depan boleh suai pada bahagian bawah badan dan dikawal bersama kepak penyejukan udara.
Perkakasan tersebut mengalirkan udara mengikut keperluan atau boleh ditutup bagi mengoptimumkan aerodinamik.
Kepak dibuka ketika permintaan tinggi seperti di litar lumba bagi mengalirkan sejumlah udara kepada radiator.
Turut direka semula jaluran lampu, jeriji belakang dan kedudukan nombor pendaftaran.

Pada bahagian dalam, pelanggan 911 coupé boleh memesan bentangan kerusi 2+2 tanpa bayaran tambahan.
Mengikut peredaran teknologi, 911 dilengkapi gugusan meter digital penuh dan butang penghidup dipasang pada kiri stereng dan kedua-duanya pertama kali digunakan pada 911.
Skrin 12.6 inci kemas pada papan pemuka dan bersama meter digital membangkitkan gaya moden untuk model ikonik ini.

911 Carrera baharu boleh dipesan dalam gaya badan Coupé dan Cabriolet dengan pacuan belakang.
Si hero 911 Carrera GTS pula mempunyai pilihan pacuan semua roda (AWD) dan badan Targa yang khusus dengan AWD sahaja.
Kedua-dua model dilengkapi Porsche Doppelkupplung (PDK) sebagai ciri asas.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
