Porsche 911 Speedster kini di Malaysia - unit terhad, dari RM2.7 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan sebuah lagi model baharu 911, iaitu Porsche 911 Speedster yang dibuat kali pertama secara maya menerusi laman rasmi Facebook dan Instagram Porsche Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Model open-top dengan dua tempat duduk ini merupakan satu penghormatan buat model roadster Porsche 356 "No.1", dan dihasilkan sebanyak 1,948 unit terhad di seluruh dunia.

Ia membawakan nadi yang dibawakan daripada Porsche 911 GT3, iaitu enjin 4.0 liter boxer enam silinder aspirasi natural yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 510 kuasa kuda dan daya kilas 470 Nm pada putaran enjin 6,250 rpm.

 


Kuasa tersebut membenarkan pecutan sepantas 4.0 saat dari 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 310 km/j, serta pulangan bacaan penggunaan bahan api gandingan 13.8 liter/100 km.

Namun, jika dibandingkan dengan enjin 911 GT3, Porsche telah melengkapkan dua komponen penapis zarah petrol (GPF), namun masih mampu mengekstrak tambahan kuasa 10 hp, terima kasih kepada penggunaan suntikan bahan api bertekanan tinggi, serta corak semburan yang dioptimasi yang membenarkan respons pendikit yang lebih spontan.

Sebagai sebuah kenderaan yang dikhususkan untuk pemandu, Porsche hanya menawarkan 911 Speedster dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan sahaja.

 


Antara ciri kawalan pengendalian dan casis yang didatangkan termasuklah Porsche Active Suspension Management (PASM) yang membolehkan kereta direndahkan sebanyak 25 mm, Porsche Torque Vectoring (PTV), dan juga Porsche Stability Management (PSM).

Porsche 911 Speedster baharu ini didatangkan dengan set rim aloi bersaiz 20 inci, serta sistem brek cakera berliang PCCB (Porsche Ceramic Composite Brake).

 


Sebagai sebuah speedster, antara bahagian yang paling kompleks adalah binaan top compartment yang didatangkan dengan ciri double-bubble yang diperbuat daripada plastik diperkukuh gentian karbon (CFRP).

Rekaan double-bubble ini dibina bagi memberikan ruang kepada sistem perlindungan roll-over yang diperlukan bagi sesebuah roadster, dan merupakan ciri standard sama seperti model Porsche 911 Carrera Cabriolet.

Ringan merupakan kunci utama di dalam pembangunan Speedster di mana banyak kompoenen yang diambil daripada model Porsche 911 GT3 seperti spoiler belakang, apron belakang serta apron hadapan, manakala bonet pula diperbuat daripada komposit gentian karbon yang ringan 2 kg berbanding yang terdapat pada 911 GT3.

 


Sementara itu, ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk bucket penuh yang diperbuat daripada komposit gentian karbon, konsol tengah dengan kemasan kulit berliang, dan panel pintu yang lebih ringan.

Paparan kluster instrumen pula ditampilkan dengan rekaan dial berwarna hitam, jarum putih serta digit berwarna hijau yang membawakan persamaan dengan model Porsche 356 Speedster.

Sementara struktur di belakang tempat duduk pula ditampal dengan lencana yang memaparkan nombor siri Porsche 911 Speedster yang dihadkan kepada 1,948 unit sahaja di seluruh dunia.

 


Porsche menawarkan model 911 Speedster baharu ini dengan pakej opsyen Heritage Design yang membawakan elemen klasik era 50-an dan 60-an termasuklah skema warna Black/Cognac dengan kemasan emas untuk ruang dalaman.

Manakala bahagian luaran dilayangkan dengan warna khas dua tona putih dan GT Silver Metallic, serta logo bersejarah PORSCHE yang dihiaskan pada sisi kereta, melambangkan rekaan yang digunakan pada tahun 1950-an dan 1960-an.

 


Porsche 911 Speedster kini boleh dilihat dengan lebih dekat secara eksklusif di Porsche Centre Sungai Besi bermula dari 13 Jun 2020, namun para pengunjung dinasihatkan supaya menetapkan temujanji terlebih dahulu bagi mengekalkan penjarakan sosial.

Harga jualan pula bermula dari RM2.7 juta, namun tidak dinyatakan berapa unit Porsche 911 Speedster yang dibawa masuk untuk pasaran Malaysia.

Saksikan pelancaran rasmi menerusi pautan video di bawah:

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pelancaran model tersebut akan dibuat menerusi laman rasmi Facebook dan Instagram Porsche Malaysia…
Model Terbaharu
Porsche dilaporkan bakal memulakan produksi terhad bagi model baharu 911 Speedster yang dihadkan…