Porsche 911 GT3 RS, lengkap DRS, halal di jalan raya!

oleh Muhammad Md Tajudin|
PORSCHE 911 GT3 RS
PORSCHE 911 GT3 RS
Ada kereta yang dibuat seperti mahu bertempur di litar dan sebenarnya sah untuk digunakan di jalan raya. Contoh terbaru boleh dilihat pada Porsche 911 GT3 RS.

Kereta ini memanfaatkan teknologi dan konsep dari sukan permotoran atau lebih spesifik menggunakan sistem penyejukan dan aerodinamik kereta lumba 911 GT3 R.

Semestinya juga kereta ini menggunakan beberapa lagi komponen model perlumbaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Rangkaian kuasa

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

911 GT3 RS digerakkan enjin aspirasi natural 4.0 liter dengan putaran tinggi 9,000 rpm yang dipertingkatkan daripada 911 GT3. 

Enjin 911 GT3 RS lebih berkuasa atau peningkatan kepada 525 PS yang secara utama disumbangkan oleh aci sesondol baharu dengan profail aci yang diubah suai.

Selain itu, sistem kemasukan pendikit tunggal dan rigid valve drive juga dari perlumbaan. 

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Transmisi Porsche Doppelkupplung atau PDK tujuh kelajuan dilengkapi nisbah gear yang lebih pendek berbanding 911 GT3. 

Bahagian bawah kereta mempunyai liang udara bagi memastikan transmisi dapat menahan beban ekstrem ketika di litar.

Pecutan 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 3.2 saat dengan kelajuan maksimum 296 km/j pada gear ketujuh.

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Satu lagi penyumbang utama kepada peningkatan kuasa ialah kedudukan radiator di tengah.

Idea itu pertama kali digunakan pada model lumba 911 RSR yang menang Le Mans dan 911 GT3 R.

Berbanding bentangan tiga radiator pada model terdahulu, radiator ditempatkan di tengah pada muncung kereta iaitu ruang bagasi pada model 911 lain.

Ruang yang dikosongkan pada sisi digunakan untuk komponen aerodinamik aktif.

Panel daripada CFRP

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Binaan yang ringan sudah menjadi tradisi atau prinsip asas model Porsche RS sejak 911 Carrera RS 2.7 lagi.

Model RS terbaru ini menggunakan CFRP (carbon fibre reinforced plastic) dengan meluas dan berat kereta (kerb weight) hanya 1,450 kg sahaja.

Pintu, sayap dan lid depan, bumbung semuanya daripada CFRP termasuk kerusi bucket di dalam kereta.

Komponen yang menyerlah pada kereta ini ialah set aerodinamik di sekelilingnya. Menonjol di belakang ialah sayap yang boleh dilaras secara hidraulik.

Aerodinamik

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Pertama kali untuk sebuah model produksi Porsche, bahagian atas sayap lebih tinggi berbanding bumbung kereta. 

Satu lagi ciri menarik ialah bahagian depan kereta tidak mempunyai spoiler dan Porsche menggunakan pemisah depan yang membahagikan aliran udara melepasinya dan ke bawah.

Bilah pada sisi pula mengalirkan udara ke bahagian keluar. Ventilasi arka roda depan dialirkan dari bukaan berliang pada sayap depan.

Inlet di sebalik roda depan dibuat ala model 911 GT1 yang menang perlumbaan Le Mans dan berfungsi bagi mengurangkan tekanan pada arka roda.

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Sirip pada bumbung mengalirkan udara ke luar dan memastikan suhu kemasukan lebih sejuk pada bahagian belakang.

Bukaan pada panel sisi belakang fungsinya untuk mempertingkatkan aerodinamik dan bukan untuk menyedut udara.

Arka roda belakang turut mempunyai liang kemasukan dan sirip sisi bagi mengoptimumkan laluan udara. Peresap belakang diambil dari 911 GT3 dengan hanya sedikit perubahan.

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Ciri larasan berterusan sayap depan dan sayap belakang dua bahagian dankombinasi ciri aerodinamik lain menjana 409 kilogram daya mendap pada kelajuan 200 km/j.

Angka itu dua kali ganda daya mendap model 991.2 dan tiga kali 911 GT3. Pada kelajuan 285 km/j, daya mendapt keseluruhan ialah sebanyak 860 kilogram.

Drag Reduction System (DRS)

Buat kali pertama, DRS dilengkapi pada model produksi Porsche.

Bagi mendapatkan seretan rendah dan kelajuan tinggi pada laluan lurus, sistem DRS membolehkan sayap dibaringkan hanya dengan kawalan butang pada stereng.

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Fungsi brek udara diaktifkan ketika brek kecemasan pada kelajuan tinggi dengan sayap depan dan belakang ditala pada sudut maksium bagi memperlahankan kereta.

Brek enam omboh, cakera besar, roda 20 inci

Set brek 911 GT3 RS terdiri daripada angkup aluminium monoblok dengan enam omboh dan cakera 408 mm di depan.

Berbanding 911 GT3, diameter omboh model ini dibesarkan 2 mm kepada 32 mm. Selain itu, ketebalan cakera juga dibesarkan 2 mm kepada 36 mm.

Bahagian belakang kekal dengan cakera 380 mm dan empat omboh.

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Pembeli yang mahukan ekstra ditawarkan Porsche Ceramic Composite Brake dengan cakera 410 mm di depan dan 390 mm di belakang.

Roda yang digunakan saiz 20 inci dan dipadan bersama tayar 275/35 di depan dan 335/30 di belakang yang sah digunakan di jalan raya biasa.

Pembeli yang memilih pakej Weissach ditawarkan roda tempa magnesium dengan berat lapan kilogram lebih ringan.

Dalaman bukan kosong

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Walaupun model ini membawa DNA litar, ianya bukan kosong seperti kereta lumba. Meneruskan ciri model RS ialah kulit hitam dengan riasan Racetex dan sulaman karbon.

Pembeli boleh mendapatkan pakej Clubsport tanpa kos tambahan dengan rangka atau palang rollover, pemadam api dan tali pinggang keledar enam sudut.

Pakej Weissach ditawarkan dengan bayaran tambahan dan terdiri daripada lid depan, bumbung, komponen sayap belakang dan bahagian atas cermin sisi dalam sulaman karbon.

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Palang anti oleng depan dan belakang, rod gandingan belakang dan panel ricih pada gandar belakang diperbuat daripada CFRP dan turut mempertingkatkan dinamika pemanduan.

Palang rollover pertama kali diperbuat daripada CFRP dan enam kilogram lebih ringan berbanding palang besi.

Selain itu, pakej Weissach juga dilengkapi pedal tukaran gear yang menggunakan teknologi magnet seperti perlumbaan.

Tukaran gear menjadi lebih asyik hasil sudut tekanan yang lebih jitu.

 

PORSCHE 911 GT3 RS

 

Harga? 

Di Jerman, Porsche 911 GT3 RS ditawarkan pada harga €229,517 (RM1,023,839) dan tempahan sudah pun dibuka.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Bermula 21 hingga 26 Februari ini, penumpang bertuah boleh menikmati perkhidmatan pemindahan…
Berita Global
Berdasarkan gambar yang sengaja digelapkan itu, terdapat tujuh buah kereta baharu yang bakal…
Pelancaran
Perasmian model tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance,…