Porsche 911 GT3 R rennsport - bila jurutera bebas buat segalanya!

oleh Mohamad Hanif|
Bulan lepas, berlangsungnya acara Rennsport Reunion 7 di mana Porsche mengambil kesempatan untuk memperlihatkan sebuah model yang sangat istimewa dan tidak tertakluk kepada sebarang undang-undang perlumbaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Senang cerita, para jurutera bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka suka pada jentera 911 GT3 R rennsport ini.

Sangat bebas dan liar sehinggakan jentera ini tidak langsung halal digunakan di dalam perlumbaan GT3!
 

gt3


Biarpun enjin flat-six 4.2 liter aspirasi natural itu dipinjamkan daripada jentera lumba GT3, nadi tersebut tidak dibina mengikut spesifikasi GT3 (558 hp), sebaliknya mampu menjana kuasa setinggi 612 hp - atau 148 hp/liter!

Sistem pancitan bahan api terus itu telah ditala supaya dapat menerima suapan bahan api bioethonol E25 dan eFuel, diikuti penggunaan aci sesondol dan omboh yang dibangunkan khas.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi sekuential enam nisbah kelajuan, di mana nisbah gear keempat, kelima dan keenam yang sepadan dengan tetapan jentera lumba GT3 di Daytona.
 

GT3


Pembeli boleh mendapatkan sistem ekzos perlumbaan yang langsung tidak senyap, atau memilih untuk memasang peredam dan penukar bermangkin yang boleh digunakan di litar yang mempunyai undang-undang sekatan bunyi bising.

Casis 911 GT3 R rennsport ini secara asasnya sama dengan jentera lumba GT3, dibantu dengan suspensi double wishbone di hadapan diikuti dengan tetapan multi-link di belakang, serta penyerap hentak KW larasan lima tahap.

Keempat-empat sudut jentera ini dipasangkan rim BBS bersaiz 18 inci dengan tayar perlumbaan khas yang direka khas oleh Michelin (Michelin Pilot Sport MS9).
 

GT3


Sistem brek perlumbaan monobloc aluminium daripada AP yang lebih ringan 1 kg itu memastikan jentera ini berhenti dengan selamat.

Diet pengurangan berat badan juga boleh didapati pada penggunaan tangki keselamatan FT3.5 berkapasiti 117 liter - juga lebih ringan 1 kg berbanding versi terdahulu.

Disebabkan itu, jentera ini mempunyai berat sekitar 1,240 kg sahaja, atau bersamaan dengan nisbah berat-kepada-kuasa 2.0 kg/PS.

Selesai aspek mekanikal, kita sentuh pula bahagian luaran jentera yang serba agresif ini.
 

GT3


Secara asasnya, hanya komponen bonet dan bumbung sahaja yang kekal dengan spesifikasi GT3 R, manakala panel badan lain mempunyai spesifikasi yang jauh berbeza berbanding jentera lumba homologasi, termasuklah sistem kemasukan udara dan efek bumi.

Cermin sisi juga telah dibuang jauh dan digantikan dengan penggunaan tiga kamera digital.

Paling menonjol ialah kehadiran sayap besar yang mengambil inspirasi daripada jentera Porsche 935/77 yang memenangi acara perlumbaan 24 Hours of Daytona pada tahun 1978.
 

GT3


Biarpun susun atur ruang kokpit ini lebih bertemakan perlumbaan, ia tetap mempunyai ciri moden seperti sistem pencahayaan ambien yang boleh diubah warnanya.

Pemasangan sangkar keselamatan hanya membenarkan seorang sahaja duduk di dalam jentera rennsport ini.

Selain tiga skrin yang diperuntukkan untuk memaparkan imej kiri, kanan dan belakang jentera, terdapat sebuah lagi skrin instrumen di sebalik roda stereng yang sarat dengan pelbagai butang fungsi itu.
 

GT3


Sayang sekali, jentera yang istimewa ini hanya akan dihasilkan dalam 77 unit sahaja, dan setiap satu dijual pada harga bermula dari $1,046,000 (RM4.94 juta).