Porsche 911 GT3 mendarat di Malaysia - harga dari RM1.8 juta

oleh Mohamad Hanif|
Sime Darby Auto Performance (SDAP) kini membawa masuk secara rasmi generasi ketujuh model pantas 911 GT3 2022 untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebagai sebuah model homologasi bagi perlumbaan FIA GT3 Cup, Porsche 911 GT3 2022 didatangkan dengan nadi boxer enam silinder 4.0 liter aspirasi natural yang mampu menghasilkan 510 PS dan daya kilas maksimum 470 Nm.

Dipadankan dengan transmisi PDK tujuh nisbah kelajuan, Porsche 911 GT3 ini berkeupayaan untuk mencapai kelajuan tertinggi 320 km/j, lebih pantas berbanding model 911 GT3 RS terdahulu.

Untuk peminat tiga pedal, usah risau kerana Porsche turut menawarkan pakej naik taraf kepada model bertransmisi manual, atau memilih GT3 Touring Package tanpa sebarang kos tambahan.
 

Porsche 911 GT3


Porsche 911 GT3 mewarisi beberapa elemen daripada litar lumba, khususnya daripada model jentera lumba 911 RSR seperti suspensi hadapan double wishbone dengan geometri dan kalibrasi spesifik, sayap belakang boleh laras secara manual dengan cagak leher angsa, serta diffuser daripada model yang serupa.

Menurut Porsche, elemen itu tadi berupaya menjana 50 peratus lebih daya turun, dan boleh dipertingkatkan sehingga 150 peratus bagi membantu pemandu mengendalikan kelajuan yang tinggi di selekoh.

Meskipun hadir dengan dimensi badan yang lebih lebar, roda yang lebih besar serta penambahan spesifikasi keselamatan, Porsche 911 GT3 ini hanyalah seberat 1,435 kg (1,418 kg untuk versi manual!).

Pencapaian berat ini disumbangkan oleh penggunaan bahan yang ringan seperti contoh bonet depan dan sayap belakang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP), tingkap daripada kaca ringan, dan bateri pemula yang menggunakan unit LiFePO4.

Selain itu, penggunaan roda yang ringan dan sistem ekzos sport turut menyumbang kepada pengurangan lebih daripada 10 kg berat badan.
 

GT3 Touring


Pakej GT3 Touring yang dilancarkan di peringkat global pada pertengahan tahun yang lalu menawarkan pakej yang lebih merendah diri seperti contoh spoiler belakang jenis automatik menggantikan sayap kekal, diikuti trim perak disekeliling tingkap, dan logo unik GT3 Touring.

Selain daripada itu, terdapat juga kelengkapan opsyen yang ditawarkan khusus untuk model 911 GT3 seperti contoh pilihan warna luaran, lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS)/Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS), Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB), sistem angkat pada gandar depan, pilihan tempat duduk, sistem bantuan, sistem audio dan pakej Sport Chrono.

Tidak cukup dengan itu, terdapat pelbagai jenis penyesuaian yang boleh dipilih menerusi program Porsche Exclusive Manufaktur seperti contoh bumbung ringan diperbuat daripada gentian karbon terdedah, pelindung cermin sisi daripada karbon, perumah digelapkan untuk unit lampu matriks LED, rekaan lampu belakang Exclusive, serta penyesuaian apa jua warna terhadap meter rpm, jam detik Sport Chrono, tali pinggang keledar dan trim ruang kabin.
 

911 GT3


Untuk ruang kabin, Porsche 911 GT3 didatangkan dengan kluster instrumen spesifik yang menampilkan rev counter analog 10,000 rpm yang diapit dua skrin digital 7.0 inci, sistem infotainmen 10.9 inci yang lengkap dengan sistem Porsche Communication Management (PCM) dan sokongan Porsche Track Precision App.

Aplikasi Porsche Track Precision itu tadi membantu pemandu untuk memaksimumkan sesi litar mereka, serta memperbaiki masa pusingan dengan data pemanduan, termasuklah paparan secara langsung dan analisa video.

Pra-tempahan untuk Porsche 911 GT3 2022 sudah pun dibuka di Porsche Centre di seluruh negara, dengan harga jualan bermula dari RM1,766,244.00.

Baca: Porsche 911 GT3 2022
Baca: Porsche 911 GT3 Touring 2022
Baca: Porsche terkejut ramai pilih 911 GT3 bertransmisi manual

Berita Berkenaan

Berita Global
Buat pertama kalinya, model ini menerima nadi boxer enam silider aspirasi natural 4.0 liter yang…
Berita Global
Porsche kini menawarkan produk baharu 911 Soundbar 2.0 Pro, di mana ia menampilkan komponen ekzos…
Berita Global
Rangkaian kuasa     911 GT3 RS digerakkan enjin aspirasi natural 4.0 liter dengan putaran tinggi…